oleh: Muhammad Alif Ayub
TANJUNG MALIM, 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah menganjurkan Green Generation Forum: “Youth Voices Against Global Warming” dan berlangsung dengan jayanya secara dalam talian melalui platform Google Meet dan siaran langsung di Facebook.
Program ini dapat menjadi medium inspirasi yang menghimpunkan suara dan idea generasi muda dalam menangani isu pemanasan global yang semakin membimbangkan dunia. Tambahan pula, generasi hijau dapat dilahirkan di kalangan belia sekarang dan masa depan.
Pemanasan global kini bukan lagi isu masa hadapan, tetapi realiti yang sedang dihadapi melalui peningkatan suhu dunia, pencemaran udara dan bencana alam yang semakin kerap.
Oleh hal demikian, forum sebegini dianjurkan bagi membuka ruang dan peluang dialog dan perbincangan antara pelajar universiti, pensyarah serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang berkonsepkan alam hijau untuk berkongsi pandangan dan mencari solusi terhadap krisis iklim.
Menariknya, forum ini menampilkan tiga panelis berwibawa — seorang pensyarah Politeknik Banting yang menekankan peranan pendidik dalam menyemai kelestarian kampus, wakil NGO KUASA yang membuktikan kekuatan gerakan akar umbi dalam memacu perubahan hijau, serta pelajar dari Brunei yang mengangkat suara belia terhadap isu pemanasan global.



Perbincangan mereka mencakupi topik penting seperti pengurangan karbon, gaya hidup lestari dan tanggungjawab generasi muda dalam menyebar kesedaran hijau di peringkat global. Forum ini turut disertai pelajar dari Malaysia, Brunei, Thailand dan Indonesia — menjadikannya pentas serantau yang menginspirasi gerakan hijau belia Nusantara..
Konklusinya, Green Generation Forum ini berjaya memperkukuh semangat belia untuk menjadi agen perubahan dalam melindungi bumi.
Program ini membuktikan bahawa suara generasi muda mampu membawa perubahan yang besar dan sedarlah bahawa setiap tindakan kecil ke arah kelestarian adalah langkah bermakna menuju masa depan bumi yang hijau dan harmoni. Dunia Hijau mampu dilestarikan dengan tanggungjawab yang dilaksanakan.
