Oleh: Muhammad Syameer Qusairie bin Shuhani
Shenzhen, China, 17 Oktober 2025- Program Outbound Mobility: Future Global Leader yang berlangsung di Shenzhen University (SZU) telah membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh jaringan antarabangsa dan pembentukan jati diri mahasiswa global Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program anjuran Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) sidang Ignite 2024/2025 dengan kerjasama Shenzhen University (SZU) ini disertai oleh 23 orang Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba UPSI Sidang 2024/2025. Turut hadir menyerikan program ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Pengetua Kolej Za’ba Encik Yusop bin Ahmad serta barisan pengurusan Kolej Za’ba.
Menurut Yang di Pertua MMKZ Sidang 2024/2025 merangkap Pengarah Program Outbound Mobility: Future Global Leader Muhammad Adrian Adrie bin Abu Bakar, penganjuran program ini bertujuan memperkasa kemahiran insaniah dan kepimpinan mahasiswa UPSI melalui pendekatan wacana antarabangsa, selain menjadi platform kolaborasi strategik dalam bidang pengurusan pelajar dan pembangunan sahsiah di peringkat global.



Perkongsian Ilmu dan Kolaborasi Strategik
Program bermula dengan sesi pengenalan oleh pihak pengurusan SZU, yang memberikan taklimat berkaitan pengurusan kolej, kemudahan kampus dan pelaksanaan program universiti. Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh pihak UPSI yang memperkenalkan struktur pengurusan, kemudahan pelajar, serta model pelaksanaan program universiti dalam konteks pembangunan kepimpinan mahasiswa.
Wacana tersebut diteruskan dengan sesi soal jawab dan perbincangan kolaborasi yang menjadi medan perkongsian idea dan pertukaran pandangan antara kedua-dua universiti mengenai pelaksanaan program pembangunan pelajar di peringkat antarabangsa.
Seterusnya, para delegasi dibawa meninjau kemudahan universiti dan kolej kediaman SZU dalam sesi lawatan tapak (site visit) bagi menilai kecekapan pengurusan pelajar serta suasana pembelajaran berinovasi yang diterapkan di universiti teknologi tersebut.
Program berakhir dengan sesi penutup ringkas dan pertukaran cenderamata sebagai simbolik kepada permuafakatan akademik antara kedua-dua institusi.


Pemangkin Kepimpinan dan Intelektualisme Global
Program ini turut menjadi platform wacana intelek rentas budaya, di mana mahasiswa kedua-dua universiti saling bertukar idea tentang pendekatan kepimpinan, nilai integriti, serta amalan terbaik dalam pengurusan organisasi pelajar.



Menjana Generasi Mahasiswa Global
Seramai 23 orang mahasiswa Kolej Za’ba bersama 4 pegawai pengiring telah menyertai program ini yang berlangsung dari 15 hingga 19 Oktober 2025 di Shenzhen, China. Aktiviti sepanjang program turut melibatkan sesi Transfer Knowledge, Cultural Exchange, dan Community Engagement bersama masyarakat tempatan menonjolkan keprihatinan mahasiswa terhadap pembangunan komuniti global.
Keseluruhannya, Outbound Mobility: Future Global Leader bukan sekadar program lawatan tetapi satu inisiatif pengantarabangsaan berimpak tinggi yang menandakan kesungguhan UPSI dalam membentuk mahasiswa yang berpengetahuan luas, berfikiran global dan berjiwa pemimpin sejati.
