Oleh: Farhah Mohd Fauzi
Shenzhen, China, 18 Oktober 2025- Suasana di tengah-tengah Bandaraya Shenzhen baru-baru ini bertukar meriah apabila Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan Program Culture Exchange bagi memperkenalkan keunikan budaya Malaysia kepada masyarakat tempatan.
Program yang menghimpunkan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan tarian tradisional, peragaan busana warisan pelbagai negeri, serta permainan rakyat yang penuh nostalgia.



Ketika persembahan berlangsung, para pelajar MMKZ kelihatan bersemangat menarikan tarian tradisional sambil mengajak penonton tempatan untuk turut serta menari bersama. Sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton memenuhi ruang, mencipta suasana penuh ceria dan mengeratkan hubungan antara dua budaya berbeza.
Selain itu, acara peragaan pakaian tradisional turut mencuri tumpuan apabila para peserta memperagakan busana dari pelbagai negeri di Malaysia — termasuk baju kebaya, baju kurung, kurta dan sari, baba nyonya serta pakaian tradisional etnik Sabah dan Sarawak.
Keindahan rekaan dan warna yang menyerlah membuatkan ramai penonton teruja dan tidak melepaskan peluang merakam detik tersebut.
Menurut Pengarah Program, program ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat China mengenai kepelbagaian budaya Malaysia yang kaya dengan nilai seni dan warisan.
“Kami mahu memperkenalkan Malaysia bukan sahaja melalui tarian dan pakaian, tetapi melalui semangat mesra rakyatnya. Program ini juga membuka ruang kepada pelajar Malaysia dan China untuk bertukar pandangan serta membina hubungan yang lebih erat,” katanya.


Penganjuran ini turut dilihat berjaya memartabatkan warisan budaya Melayu dan Nusantara melalui persembahan yang menonjolkan kehalusan seni tradisional dan semangat kekitaan.
Program Culture Exchange ini menjadi platform penting untuk mahasiswa UPSI memainkan peranan sebagai duta kecil negara dalam mempromosikan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa, selain memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China melalui elemen seni dan kebudayaan.
