Oleh : Prof Madya Dr. Mazlini Adnan, Atikah Nadiah Abdul Samad, Dr. Yulyanti Harisman, Dr. Resmi Darni, Dra. Sri Elniati, Hafizatunnisa dan Aqilul Asra. Fakulti Sains dan Matematik.
Tanjong Malim, 27 Oktober 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menerima kunjungan delegasi pensyarah daripada Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan akademik serantau serta memperluas penerapan konsep etnomatematika dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.
Kunjungan tersebut berlangsung selama dua hari. Para pensyarah UNP berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dalam menerapkan etnomatematika serta pendekatan inovatif yang mengaitkan Matematik dengan budaya, warisan dan kehidupan seharian masyarakat tempatan. Pendekatan ini diyakini mampu menjadikan pembelajaran Matematik lebih bermakna, kontekstual dan menyeronokkan.
Terdapat aktiviti yang dilaksanakan sepanjang kunjungan ini, para bakal guru Fakulti Sains dan Matematik UPSI telah diberikan tugasan berkumpulan untuk mengenal pasti elemen etnomatematika yang wujud di sekitar kawasan UPSI, Sultan Abdul Jalil Shah.
Aktiviti ini membuka ruang kepada bakal guru untuk meneliti bagaimana elemen Matematik tersirat dalam pelbagai aspek seni bina, corak, ukiran dan aktiviti harian di persekitaran kampus. Setiap kumpulan kemudiannya membentangkan dapatan kajian mereka di dalam kelas dan berkongsi hasil pemerhatian tentang bagaimana nilai-nilai budaya tempatan dapat dimanfaatkan dalam pengajaran Matematik secara interaktif.


Menurut delegasi pensyarah UNP, kunjungan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara UPSI dan UNP, malah turut memperluas pemikiran bakal guru terhadap kepelbagaian kaedah pedagogi Matematik. Pendekatan etnomatematika yang diketengahkan dapat membantu bakal guru membina suasana pembelajaran yang bermakna, kreatif dan berpaksikan konteks budaya tempatan.
Melalui pendedahan ini, bakal guru dapat memahami bahawa pengajaran Matematik tidak hanya terhad kepada simbol dan formula tetapi turut mencerminkan identiti, nilai dan keindahan budaya masyarakat.
Secara keseluruhannya, program kolaboratif ini menjadi platform penting untuk saling bertukar pandangan dalam memperkasa inovasi pedagogi Matematik. Kunjungan ini telah memberikan inspirasi kepada warga Fakulti Sains dan Matematik UPSI untuk terus meneroka kaedah pengajaran berinovatif berasaskan etnomatematika demi melahirkan pendidik yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berakar pada warisan budaya dan nilai bangsa.
