Fasilitator UPSI bersama Ketua Panitia Matematik dan guru Sekolah Menengah Sains SelangorFasilitator UPSI bersama Ketua Panitia Matematik dan guru Sekolah Menengah Sains Selangor

Oleh: Dr. Nor Suriya Abd Karim & Dr. Nor Hafizah Md Husin

CHERAS, 1 November 2025 – Pencapaian murid dalam mata pelajaran Matematik menunjukkan tren yang semakin menurun menjadi salah satu kebimbangan dalam dunia pendidikan pada masa kini. Matematik sebagai salah satu mata pelajaran yang penting dan kritikal kerana penggunaannya yang meluas sebagai asas dalam bidang lain seperti perakaunan, kejuruteraan sehingga ke kulinari  menjadi batu asas kepada usaha untuk meningkatkan kefahaman dan pencapaian murid dalam mata pelajaran ini.

Kurikulum Matematik yang semakin padat seiring dengan kecerdasan murid masa kini menjadi cabaran kepada murid untuk menguasai konsep matematik yang abstrak. Sehubungan dengan itu, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Eminent Minds Tuition Centre FSM, Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Pusat STEM FSM dan Sekolah Menengah Sains Selangor telah mengadakan program Fun With Mathematics @ SM Sains Selangor sebagai usaha bagi meningkatkan minat murid melalui pembelajaran secara santai.

Proses pemindahan ilmu oleh fasilitator kepada peserta Fun with Mathematics di Sekolah Menengah Sains Selangor
Proses pemindahan ilmu oleh fasilitator kepada peserta Fun with Mathematics di Sekolah Menengah Sains Selangor

Program yang melibatkan seramai 120 orang murid Tingkatan 1 selaku peserta program dan dua orang guru di Sekolah Menengah Sains Selangor ini mensasarkan proses pemindahan ilmu daripada 25 orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dengan Kepujian (AT14) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik dengan Pendidikan (AT48) selaku fasilitator yang dilatih oleh dua orang pensyarah Matematik, Fakulti Sains dan Matematik selaku mentor program.

Program ini dilaksanakan secara dua slot yang melibatkan empat topik pembelajaran mata pelajaran Matematik Tingkatan 1 iaitu Ungkapan Algebra, Persamaan Linear, Garis dan Sudut serta Poligon Asas. Slot pertama berlangsung sekitar dua jam berfokuskan kepada ulang kaji intensif bagi topik Ungkapan Algebra dan Persamaan Linear. Murid diberi penekanan kepada konsep asas dalam kedua-dua topik ini secara santai berbantukan lembaran nota yang dibina sebagai satu gaya pembelajaran yang berfokuskan bahan supaya murid dapat meneroka, memahami dan mempelajari konsep matematik melalui bahan yang disediakan mengikut fasa masing-masing. Pemahaman dan penguasaan murid diperkukuhkan lagi melalui aktiviti perbincangan dan refleksi dalam kumpulan kecil dengan bimbingan fasilitator untuk menilai semula dan memperbaiki kesilapan serta miskonsepsi dalam topik-topik ini.

Bahan aktiviti topik Ungkapan Algebra dan Persamaan Linear
Sesi ulang kaji intensif secara berkumpulan

Slot kedua dilaksanakan sekitar 1 jam 30 minit yang berasaskan pembelajaran melalui pengalaman dan masih mengekalkan pembelajaran berfokuskan bahan.  Pada slot ini setiap pelajar dibekalkan kit yang mengandungi benang, jarum peniti, pen penanda, lembaran nota dan kepingan puzzle sebagai bahan yang digunakan oleh murid untuk menyiasat dan memahami konsep bagi topik Poligon Asas dan Garis dan Sudut seperti jenis-jenis sudut dan ciri-cirinya serta sisi dan nama bagi poligon. Melalui aktiviti ini, murid-murid dibimbing oleh fasilitator untuk mengimbas kembali konsep yang telah dipelajari di samping menekankan hubungkait di antara konsep menggunakan bahan maujud yang terkandung di dalam kit supaya murid dapat menguasai konsep melalui pengalaman menggunakan bahan-bahan yang dibekalkan.  Melalui slot ini juga, kemahiran komunikasi dan berkerjasama murid ditekankan melalui perbincangan secara dalam kumpulan dalam menjayakan aktiviti ini sebagai kemahiran insaniah yang penting dalam hubungan sosial dan kerjaya.

Penggunaan bahan maujud untuk menyiasal sifat sudut
Di antara hasil kreativiti murid bagi aktiviti Garis dan Sudut
Murid berbincang dalam kumpulan bagi menghasilkan sudut dari bahan maujud

Sesi refleksi dilaksanakan di penghujung program bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas murid berkenaan slot dan aktiviti yang telah dijalani terutamanya dari aspek kefahaman mereka kepada konsep dan topik yang dikongsikan di dalam kedua-dua slot serta peningkatan minat mereka di dalam mata pelajaran Matematik.  Ujar Amir Aryan bin Amir Rasyid yang merupakan salah seorang peserta, program ini meningkatkan keseronokan mereka untuk belajar matematik secara santai di samping memahami konsep matematik. Puan Azlina binti Tamim, Ketua Panitia Matematik Sekolah Menengah Sains Selangor juga menyatakan harapan beliau agar pengisian program program ini dapat membantu persediaan murid untuk menghadapi peperiksaan kelak.

Murid berkerjasama dalam kumpulan bagi mengenalpasti bentuk-bentuk poligon dari kepingan puzzle
Murid berkerjasama dalam kumpulan bagi mengenalpasti bentuk-bentuk poligon dari kepingan puzzle

Secara keseluruhannya, dengan penganjuran program yang sedemikian menunjukkan usaha dan inisiatif pelbagai lapisan individu, persatuan dan pusat di Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menyokong moto universiti iaitu sebagai ‘Peneraju Kebitaraan Akademik’ dapat direalisasikan dengan kerjasama pelbagai pihak. Melalui program yang berteraskan pemindahan ilmu seperti ini juga diharap dapat menonjolkan kepakaran dan kelebihan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris kepada masyarakat di samping mewujud serta mengekalkan hubungan baik di antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan komuniti dan organisasi sekitar.