TANJONG MALIM, 5 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menerima penyerahan rasmi Projek Pembinaan Kompleks Pusat Kesihatan Universiti di Kampus Sultan Azlan Shah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ir. Haji Ghazali Hizam, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah JKR Negeri Perak, Ir. Farrid Jamaludin dan Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB) UPSI, Sr. Azaharu Mad Bahah @ Bashah.

Turut hadir wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, JKR Negeri Perak, ICAZ Ventures Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama serta wakil Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

Projek pembinaan kompleks itu mula dilaksanakan pada 19 November 2021 dan siap sepenuhnya pada 11 Ogos 2025. Ia dibangunkan oleh JKR sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama ICAZ Ventures Sdn. Bhd.


Kompleks berkenaan menempatkan pelbagai kemudahan moden termasuk Blok Pesakit Luar, Blok Farmasi, Blok Pergigian, Blok Kecemasan dan Kemalangan, Rumah Sisa Klinikal, Rumah Sampah serta kemudahan elektrik dan mekanikal yang lengkap.
Kemudahan baharu ini dijangka memberi manfaat besar kepada warga universiti dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, moden dan efisien seiring komitmen UPSI dalam memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan pelajar dan staf.
Dengan siapnya kompleks tersebut, UPSI terus melangkah ke hadapan dalam menyediakan persekitaran kampus yang holistik, bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik tetapi turut menitikberatkan aspek kesihatan dan kesejahteraan warganya.
