YB Salina Samsudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil Malaysia Book of Records kepada Ilyana Kamal (tiga dari kanan) sempena Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.YB Salina Samsudin (dua dari kanan) menyampaikan sijil Malaysia Book of Records kepada Ilyana Kamal (tiga dari kanan) sempena Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

TANJONG MALIM, 15 Oktober 2025 – Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak 2025 berlangsung meriah di Gerbang Suria Sport City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Rabu lalu, dengan penyertaan lebih 2000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, YB Salina Samsudin, yang turut memuji penganjuran program berkenaan sebagai platform penting untuk memperkukuh kesedaran kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

“Isu kesihatan mental kini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti setempat,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

YB Salina Samsudin (lima dari kiri) bergambar ketika menyempurnakan gimik perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak 2025 di Gerbang Suria Sport City, UPSI.
 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI Prof. Dr. Suriani (empat dari kanan) menyempurnakan acara pelepasan para peserta larian sempena Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI Prof. Dr. Suriani (empat dari kiri) bergambar bersama barisan pengurusan universiti sebelum merasmikan Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
 

Beliau berkata, penganjuran sambutan seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan kesejahteraan holistik masyarakat.

“Saya amat berbangga apabila UPSI dan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dapat berganding bahu menjayakan program ini yang bukan sahaja memupuk kesedaran mengenai kesihatan mental, tetapi juga menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah seperti larian dan sukan komuniti,” ujar beliau.

Sambutan berkenaan mencipta sejarah apabila acara ‘Milenia Bubble Run: Mental Health X Malaysia Day’ menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai acara larian berbuih terbesar di Malaysia.

Larian sejauh lima kilometer itu dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI dan disertai lebih 2,000 peserta termasuk warga universiti, pelajar sekolah serta masyarakat setempat.

Antara lebih 2000 peserta larian sempena Millenia Bubble Run Mental Health di Gerbang Suria Sport City, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
 
YB Salina Samsudin bergambar kenangan bersama barisan pengurusan universiti dan peserta Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak 2025 di Gerbang Suria Sport City, UPSI.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UPSI, Dr. Farah Salwani Che Ku Razak berkata, penganjuran sambutan kali ini menjadi manifestasi komitmen universiti dalam memperkasakan kesedaran kesihatan mental dalam komuniti kampus dan masyarakat sekitarnya.

“Pusat Kesihatan Universiti UPSI sentiasa menekankan kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental.

“Pendekatan seperti ini membantu mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental. Apabila masyarakat dapat bergembira bersama-sama sambil memahami kepentingan menjaga emosi dan kesejahteraan diri, mesej yang ingin disampaikan menjadi lebih mudah diterima,” katanya.

Dr. Farah turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara Pusat Kesihatan Universiti UPSI, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim dan MPP UPSI akan diteruskan melalui program kesedaran dan intervensi komuniti yang berterusan.

Program itu turut diadakan bersempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UPSI, menjadikannya platform menyeluruh dalam memperkukuh kesedaran mengenai kesejahteraan fizikal, mental dan sosial masyarakat.

“Selain larian, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran kesihatan, ceramah kesedaran, pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti komuniti berteraskan gaya hidup sihat dan kesejahteraan minda,” katanya.