Pelajar UPSI Menerima Anugerah Johan bagi Kategori Antarabangsa dalam Pertandingan China-ASEAN Infant Care Service Skills Competition

Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Nanning, Guangxi, China, 14 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah baharu apabila dua pelajarnya dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, muncul Johan Kategori Antarabangsa dalam The 2025 China-ASEAN Infant Care Service Skills Competition for College Students yang berlangsung di Guangxi College for Preschool Education dari 12 hingga 14 November 2025.

Pertandingan berprestij itu menghimpunkan 32 penyertaan domestik dari universiti seluruh China serta tiga penyertaan antarabangsa, dengan UPSI menjadi salah satu wakil yang bersaing dalam kategori antarabangsa. Pertandingan ini menawarkan tiga kategori bagi peringkat domestik dan dua kategori bagi peringkat antarabangsa. Kejayaan ini sekali lagi mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan terkemuka dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Dua pelajar yang mengharumkan nama negara ialah Nurfatin Syazwani Halimi dan Hilya Fadhlina Mohd Razali, yang cemerlang dalam dua acara utama iaitu Responsive Care in Infant Play dan Responsive Care in Infant Reading. Mereka berjaya memperlihatkan kepakaran dalam interaksi responsif, permainan perkembangan awal, komunikasi berkesan serta pedagogi yang menekankan kesejahteraan bayi dan kanak-kanak.

Lebih membanggakan, kecemerlangan UPSI turut diiktiraf menerusi penganugerahan Outstanding Instructor Award kepada dua pensyarah UPSI, Dr. Intan Farahana Abdul Rani dan Prof. Madya Dr. Loy Chee Luan, atas kepakaran dan komitmen dalam membimbing peserta sehingga meraih kejuaraan. Kedua-duanya turut menerima Excellent Instructor Award sebagai pengiktirafan tambahan.

Delegasi UPSI diketuai oleh Dr. Seah Sioh Peh, Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, yang memainkan peranan penting dalam pengurusan, penyelarasan dan sokongan strategik sepanjang penyertaan di Guangxi. Beliau turut menerima Excellent Organization Award.

“Kami amat bersyukur dan bangga. Walaupun peserta kita terdiri daripada pelajar Semester 1, mereka menunjukkan prestasi setanding pelajar antarabangsa lain seperti Thailand yang turut menghantar dua pasukan. Kejayaan ini membuktikan bahawa latihan dan sistem pendidikan UPSI mampu melahirkan tenaga pendidik awal kanak-kanak bertaraf global,” ujar Dr. Intan.

Sementara itu, Dr. Seah berkata, “Penyertaan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi peluang strategik untuk melebarkan jaringan kerjasama akademik UPSI dengan institusi di ASEAN dan China. Kita berbangga kerana pelajar bukan sahaja membawa pulang trofi, tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.”

Bagi kedua-dua peserta, kemenangan ini merupakan pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan.

“Kami tidak sangka dapat menewaskan peserta antarabangsa lain dan muncul juara. Ini menjadi motivasi besar untuk kami terus belajar dan menjadi pendidik awal kanak-kanak yang hebat suatu hari nanti,” kata Hilya dan Nurfatin penuh teruja.

Kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi UPSI sebagai salah satu universiti terkemuka dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di rantau Asia Tenggara, sekaligus menyokong agenda universiti melahirkan graduan holistik, berkualiti tinggi dan kompeten di peringkat antarabangsa.