Sesi fotografi bagi Seminar Kolaborasi UPSI–UNP: Transformative Biology Learning in Action
Oleh: Profesor Madya Dr. Syakirah Samsudin dan Erina Anisa Azri
Tanjong Malim, 19 Jun 2025– Seminar kolaborasi antarabangsa bertemakan “Transformative Biology Learning in Action” melibatkan pelajar kursus SBF3033, Fisiologi Haiwan, di bawah kelolaan Prof. Madya Dr. Syakirah Samsudin dari Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik, telah berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom pada jam 2.00 petang waktu Malaysia.
Seminar ini merupakan manifestasi kerjasama antara UPSI dan Universitas Negeri Padang (UNP), yang terjalin sejak lima semester lalu. Program ini berfungsi sebagai platform perkongsian pelaksanaan SULAM (Service-Learning Malaysia: University for Society) bagi memperkukuh hubungan akademik dan memperkasa pembelajaran biologi secara lebih bermakna serta berimpak kepada masyarakat.
Seramai 95 peserta terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa kedua-dua institusi mengikuti seminar berkenaan. Sebanyak 10 projek SULAM dibentangkan, memaparkan pelbagai inisiatif memberi manfaat kepada komuniti. Sasaran projek merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja, golongan dewasa dan ibu bapa. Kebanyakan projek dikategorikan sebagai berimpak tinggi kerana bukan sahaja menyalurkan pendedahan teori, malah turut menekankan amalan hidup sihat yang boleh diamalkan dalam rutin harian.

Pelbagai tema diketengahkan mengikut keperluan sasaran masing-masing. Antaranya, projek War on Sugar dan Anak Malaysia Sihat memberi fokus kepada golongan muda dalam meningkatkan kesedaran mengenai risiko pengambilan gula berlebihan. Projek Effect of Junk Food Consumption on the Digestive System dan Effect of Sweet Drink Consumption on the Digestive System pula lebih relevan kepada remaja yang sering terdedah kepada makanan ringan dan minuman manis. Sementara itu, projek First 1000 Days Breastfeeding memberi tumpuan kepada ibu bapa, khususnya ibu yang baru melahirkan anak, dalam menekankan kepentingan penyusuan awal untuk perkembangan bayi.
Bagi golongan dewasa, projek seperti Effect of Junk Food Consumption on the Circulatory System, Effect of Sweet Drink on the Circulatory System dan Healthy Eating Responsibility memfokuskan pencegahan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan penyakit jantung.
Seminar ini memberi peluang kepada mahasiswa membentangkan projek SULAM di bawah inisiatif UPSI–UNP Service Learning Collaboration serta menunjukkan bagaimana ilmu biologi dapat diterjemahkan melalui tindakan dan khidmat kepada komuniti. Ia juga memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keyakinan diri dalam suasana pembelajaran merentas sempadan.

Sesi ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr. Noraine Salleh Hudin, dan Ketua Jabatan Biologi UNP, Dr. Dwi Hilda Putri, yang memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran seminar. Program tersebut dikendalikan secara profesional oleh moderator muda, Cik Siti Nur Huda (UPSI) dan Cik Aamishya Zulaikha (UNP), yang memastikan kelancaran keseluruhan sesi.
Seminar berlangsung dengan penuh semangat apabila wakil setiap kumpulan membuat pembentangan di hadapan panel juri, iaitu Dr. Muhammad Hakimi Mohd Kassim (UPSI) dan Ibu Afifatul Achyar S.Si., M.Si. (UNP). Sesi soal jawab secara rawak turut diadakan untuk menguji kefahaman dan kemampuan mahasiswa menjelaskan projek masing-masing dengan jelas serta meyakinkan.
Sebagai kemuncak, enam kategori pemenang diumumkan, iaitu UPSI Best Presenter, UNP Best Presenter, Overall Best Presenter, UPSI Best Project, UNP Best Project dan Overall Best Project. Secara keseluruhan, seminar ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kolaborasi antara UPSI dan UNP, malah menjadi platform terbaik dalam memantapkan pembelajaran biologi dalam kalangan mahasiswa di peringkat antarabangsa.
