Sesi pelepasan anak ikan puyu ke Sungai Alor Lempah oleh wakil murid Kami Sahabat Sungai 2.0 bersama Julaihah Jamaludin, Yang Dipertua MPHS serta pasukan Kami Sahabat Sungai 2.0.
Oleh: Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain
Kuala Kubu Bharu, 14 November 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Teknikal & Vokasional (FTV), sekali lagi menegaskan peranannya sebagai peneraju pendidikan alam sekitar dengan melahirkan generasi muda yang prihatin terhadap pemuliharaan sungai melalui program “Kami Sahabat Sungai 2.0 – Wira Kecil Penjaga Sungai”. Program ini dianjurkan bersama Sekolah Kebangsaan Ampang Pecah (SKAP) dan disokong oleh Inisiatif Geran Khas Komuniti Mampan 4.0 (G-KoM 4.0) Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Program yang berlangsung di SK Ampang Pecah dan Sungai Alor Lempah itu disempurnakan oleh YBhg. Puan Julaihah Jamaludin, Yang Dipertua MPHS, dengan kehadiran barisan pimpinan sekolah, wakil UPSI termasuk Dr. Norhanizan Usaizan, Timbalan Dekan Penyelidikan FTV, wakil UNESCO, wakil Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan pegawai MPHS. Seramai 320 murid dan peserta komuniti terlibat dalam aktiviti berorientasikan pendidikan lapangan dan pemuliharaan ekosistem sungai.
Ts. Dr. Mohd Amirul Hussain, pengarah program berkata program ini bertujuan membina kesedaran sejak usia muda mengenai kepentingan menjaga sungai dan alam sekitar. “Melalui pendekatan 3W – We Learn, We Do, We Share, murid bukan sahaja belajar tentang ekosistem sungai, malah turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pemuliharaan,” katanya.

Antara aktiviti menarik termasuk gimik pelepasan 2,500 benih ikan puyu ke Sungai Alor Lempah, simbolik usaha pemuliharaan biodiversiti tempatan. Selain itu, peserta juga menyertai ceramah motivasi ‘Cintai Sungai Kita’ dan aktiviti gotong-royong pembersihan sungai, yang berjaya mengutip lebih 30-kilogram sampah termasuk plastik dan bahan buangan rumah tangga.


Seorang murid SK Ampang Pecah, Aisyah, 11, berkongsi pengalamannya, “Saya bangga menjadi wira kecil. Sebelum ini saya tidak tahu sungai kita tercemar, sekarang saya tahu cara menjaga dan memulihkannya.”
Program ini selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim), dan SDG 15 (Kehidupan di Darat). MPHS menyokong inisiatif sebegini bagi menerapkan amalan kelestarian dari peringkat akar umbi, manakala UPSI melalui FTV terus membangunkan modul pendidikan sungai untuk kegunaan sekolah dan komuniti.
Menurut Ts. Dr. Mohd Amirul, program ini merupakan permulaan untuk membina kesedaran alam sekitar di kalangan generasi muda. Beliau berharap inisiatif sebegini dapat diperluas ke sekolah-sekolah lain di Hulu Selangor, bagi melahirkan murid sebagai agen perubahan dalam usaha memulihara sungai yang lebih bersih, hijau, dan berdaya tahan.
Selain impak pendidikan, program ini membuktikan kejayaan model universiti-komuniti, di mana kerjasama antara UPSI, pihak sekolah, dan komuniti setempat dapat mengukuhkan pemuliharaan alam sekitar. Program “Kami Sahabat Sungai 2.0” bukan sahaja melahirkan wira kecil, malah turut membuka peluang penyelidikan berterusan mengenai pendidikan alam sekitar serta pemuliharaan sungai, sekaligus menempatkan UPSI dan FTV sebagai universiti unggul dalam membina kesedaran ekologi dan kelestarian komuniti.

Program ini turut direalisasikan melalui kerjasama Impian Kreatif Resources, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Jabatan Perikanan Negeri Selangor, serta Persatuan Sains Pertanian UPSI (PERSSAP), yang memungkinkan lebih 320 murid dan peserta komuniti mengikuti pelbagai aktiviti pendidikan dan pemuliharaan sungai secara hands-on.
