Oleh: Encik Ahmad Tarmizi Al Shaari
Tanjong Malim, 10 Jun 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang memelihara dan mengangkat warisan budaya negara menerusi penganjuran Majlis Lentera Batik 2026: Menyinari Seni Adibusana Warisan Perak yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Majlis berprestij ini diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, yang mencerminkan sokongan berterusan institusi diraja terhadap usaha memartabatkan warisan seni dan budaya negara.
Naib Canselor UPSI dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran Majlis Lentera Batik membawa misi besar untuk memperkenalkan Batik Perak sebagai identiti seni tekstil negeri yang unik, berakar pada sejarah dan budaya serta terus berkembang dalam landskap kreatif masa kini.



Menurut beliau, Batik Perak mempunyai keistimewaan tersendiri melalui penggunaan motif bunga kelumpang yang sarat dengan nilai falsafah dan budaya masyarakat Melayu. Selain itu, penggunaan unsur tanah liat sebagai medium penghalang warna dalam proses pembuatannya menghasilkan tekstur dan tona yang unik, sekali gus memperlihatkan kebijaksanaan tempatan dalam menghasilkan karya seni bernilai tinggi.
Majlis ini turut menampilkan hasil kolaborasi strategik antara Perbadanan Menteri Besar Perak, Kraftangan Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam pembangunan dan penghasilan koleksi Batik Cura Perak.



Kerjasama tersebut membuktikan bahawa gabungan erat antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan mampu mewujudkan ekosistem yang berkesan dalam memperkasakan warisan budaya serta mengangkat industri kreatif negara ke tahap yang lebih tinggi.
Sebanyak 30 rekaan eksklusif dipersembahkan dalam majlis ini melibatkan pelbagai kategori busana termasuk kemeja lelaki, baju kurung, baju kebaya serta skirt dan blaus. Lebih membanggakan, keseluruhan proses penghasilan koleksi tersebut digerakkan oleh mahasiswa UPSI sendiri dari Fakulti Teknikal dan Vokasional, bermula daripada pembangunan idea dan konsep, rekaan busana, pemilihan fabrik, proses jahitan sehingga pengurusan persembahan pentas.
Keunikan majlis ini turut terserlah apabila koleksi berkenaan diperagakan oleh pelajar UPSI termasuk mahasiswa antarabangsa dari Uzbekistan, Bangladesh, Austria, Kazakhstan, Jerman, Pakistan dan China, sekali gus membuktikan bahawa warisan Batik Perak mempunyai daya tarikan sejagat yang mampu merentasi sempadan budaya dan negara.



Majlis Lentera Batik 2026 turut menghimpunkan tokoh-tokoh industri kreatif dan pereka fesyen terkenal tanah air antaranya Dato’ Radzuan Radziwill, Salikin Sidek, Rasta Rashid, Bon Zainal, Padil Othman dan Hasfitri Yusof yang hadir bagi menyokong pembangunan bakat muda dalam industri kreatif negara.
UPSI berharap penganjuran program seumpama ini akan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara akademia, industri, kerajaan dan penggiat seni serta menjadikan Batik Perak sebagai warisan yang terus dihargai, dipelihara dan dikenali di peringkat antarabangsa.
