Oleh Dr. Farah Najwa Binti Ahmad Puad, Dr. Hamidah Binti Idris, Dr. Salman Firdaus Bin Sidek & Dr. Shakila Binti Che Dahalan

Banda Aceh, 17 Mei 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi menerusi penyertaan dalam Program International Service Learning 2026 (ISL 2026) secara hybrid pada 27 April hingga 5 Jun 2026.

Program ISL 2026 merupakan inisiatif pembelajaran berasaskan perkhidmatan kepada komuniti anjuran Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama 6 institusi lain yang dijalankan di peringkat antarabangsa.

Program ini telah memberi peluang kepada pelajar dalam mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari dalam situasi sebenar di samping memperkukuh kemahiran komunikasi antara budaya, kepimpinan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah secara global.

Program ISL 2026 merupakan pelaksanaan projek SULAM berimpak dengan komponen mobiliti telah dilaksanakan secara bersemuka di Pulau Sabang, Aceh, Indonesia pada 11 hingga 17 Mei 2026 dengan melibatkan seramai 105 orang pelajar daripada dua universiti dari Malaysia, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta lima universiti dari Indonesia iaitu Universitas Syiah Kuala (USK), Universitas Teuku Umar (UTU), Universitas Tadulako (UNTAD), Universitas Malikussaleh (UNIMAL) dan Universitas Gunung Leuser (UGL).

Program ISL 2026 bermula dengan perjalanan delegasi UPSI dari Kuala Lumpur ke Banda Aceh pada 11 Mei 2026 di bawah kelolaan Unit Pembangunan Bakat Akademik, Pusat Pembangunan Akademik UPSI. Delegasi UPSI terdiri daripada 25 orang pelajar yang diketuai oleh Megat Najmi Hakim bin Megat Nasurudin dari Fakulti Sains Kemanusiaan dan diiringi oleh empat orang pensyarah yang diketuai oleh Dr. Hamidah Binti Idris (Fakulti Sains dan Matematik) bersama-sama dengan Dr. Salman Firdaus Bin Sidek (Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, FKMT), Dr. Shakila Binti Che Dahalan (Fakulti Sains Kemanusiaan, FSK) dan Dr. Farah Najwa Binti Ahmad Puad (Fakulti Teknikal dan Vokasional, FTV). Pada hari pertama di Banda Aceh, delegasi UPSI dibawa melawat ke Masjid Raya Baiturrahman iaitu salah satu mercu tanda bersejarah yang kekal utuh selepas tragedi tsunami 2024.

Pada hari seterusnya, iaitu 12 Mei 2026 program ISL 2026 memulakan tirainya dengan majlis pelepasan peserta yang telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama) Universitas Teuku Umar, Dr. Ir. M. Aman Yemen, M. Agric. Sc. Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada wakil institusi yang terlibat iaitu Dr. Lukman Hakim Ismail (UTM), Dr. Hamidah Idris (UPSI), Dr. Sulastri M.Si (USK), Prof. Dr. Bakhri (UNTAD) dan Khairul Anwar ST MT (UGL). Selesai sahaja majlis pelepasan di Hotel Grand Mahoni, Banda Aceh, semua peserta dibawa ke Ulee Lheue-Balohan untuk ke Pulau Sabang. Setibanya di sana, sekali lagi kami disambut meriah oleh komuniti di Pulau Iboih dan acara diteruskan dengan pembukaan rasmi ISL Aceh 2026 dengan kehadiran wakil kerajaan tempatan, pemimpin komuniti dan peserta program.

Majlis pembukaan dimulakan dengan kata aluan Pengarah Program iaitu Dr. Lukman Hakim Ismail, diikuti ucapan wakil Timbalan Rektor Universitas Teuku Umar yang disampaikan oleh Dekan Fakultas Teknik UTU, Dr. Ir. Irwansyah ST M.Eng IPM. Seterusnya, perasmian program telah disempurnakan oleh wakil Datuk Bandar Kota Sabang, Junizar, SH., M.Si yang mewakili Staf Ahli Bidang Ekonomi, Pembangunan dan Kewangan.

Pada hari ketiga Program ISL 2026 iaitu 13 Mei 2026, acara diteruskan dengan para peserta melaksanakan Modul 3, Modul 4 dan Modul 5 di Meunasah Lamnibong, Pulau Iboih. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Saringan Kesihatan, Penilaian Status Gizi dan Keberhasilan Lingkungan, Nailcare Esthetics, Hello Microbes dan Penyelenggaraan Komputer untuk Komuniti. Melalui jemputan daripada Tuan Azhar, Guru Besar SD Negeri 25 Sabang, dua modul SULAM@UPSI iaitu Hello Microbes dan Penyelenggaraan Komputer untuk Komuniti turut berpeluang dilaksanakan bersama murid-murid dan guru-guru sekolah di sana.

Pelaksanaan modul-modul ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir dan kerjasama yang diberikan amat baik sepanjang program berlangsung. Aktiviti tersebut bukan sahaja memberi pendedahan ilmu kepada komuniti, malah mengeratkan hubungan antara peserta antarabangsa dan masyarakat setempat.

Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), UPSI melalui kursus Terapi Estetik (VCB3023) yang diketuai oleh Anita Mindun Anak Denny Stephen Ngumbang bersama-sama dengan Ainie Najibah Ashek, Dina Athirah Amaran, Aina Ros Suffina Amer dan Norintan Natasya Noran telah melaksanakan modul Nailcare Esthetics yang memberi pendedahan kepada komuniti setempat berkaitan penjagaan kuku yang betul, kebersihan tangan dan kuku serta amalan penjagaan diri bagi mengekalkan kesihatan dan penampilan diri. Para peserta turut didedahkan kepada teknik asas penjagaan kuku (manicure) yang selamat dan sesuai diamalkan dalam kehidupan harian. Aktiviti ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada komuniti setempat, malah memberi peluang kepada pelajar dalam mengaplikasikan ilmu terapi estetik dalam situasi sebenar sambil meningkatkan kemahiran komunikasi, profesionalisme dan tanggungjawab sosial.

Seterusnya, Modul Hello Microbes daripada kursus Prinsip-prinsip Dalam Mikrobiologi (SBB3033 ) yang diketuai oleh Aylord Joy Phillipie Shoibih dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM) bersama ahli iaitu Siti Nurazlinda S. Ahmad Zubaida, Erina Anisa Azri, Siti Nur Hijrah Mayzefri, Siti Nuranis Adila Fari, Nor Farah Ain Zulkiflie, Eslly John dan Audrey Teoh turut dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran komuniti tentang mikroorganisma yang terdapat di persekitaran dan peranannya dalam kehidupan seharian. Aktiviti dijalankan melalui pendekatan penerangan interaktif dan eksplorasi dunia kuman di mana peserta diberi penerangan mengenai kepentingan amalan kebersihan diri, pencegahan penyakit dan hubungan antara mikroorganisma dengan kesihatan manusia serta alam sekitar serta dapat memproses sampel dan melihat sendiri bentuk kuman menggunakan Foldscope. Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada minat warga SD 25 Sabang, 3 unit Foldscope telah diperkenalkan dan diserahkan kepada guru sekolah untuk digunakan dalam sesi pembelajaran sains.

Modul seterusnya daripada Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (FKMT) iaitu Penyelenggaraan Komputer untuk Komuniti telah diketuai oleh Muhammad Zahid Bin Zaidi bersama ahli Nur Aina Nabilah Mohd Shafie, Muhammad Mukhsin Chu Ardjuna, Mariyani Morshidi, Maisarah Mat Juhar, Mohamad Syamil Zulkifli dan Anutre A/P Suchart. Modul ini memberi pendedahan kepada komuniti mengenai pengurusan dan penyelenggaraan asas komputer dan teknologi digital yang menyokong kelestarian alam. Aktiviti yang dijalankan turut membantu meningkatkan literasi digital dalam kalangan peserta serta menggalakkan penggunaan teknologi dengan lebih bertanggungjawab dan berhemah dalam kehidupan seharian.

Pada 14 dan 15 Mei 2026, pelaksanaan Modul 1 daripada UTM diteruskan di Pantai Iboih dengan memberi fokus kepada pemasangan sistem pam air solar di masjid setempat, Modul Pengelolaan Sampah, Penghasilan Eco Enzyme serta Bank Sampah. Turut berlangsung pada hari yang sama iaitu Modul Eksplorasi AI daripada Fakulti Sains Kemanusiaan yang dianggotai oleh Megat Najmi Hakim, Adli As Siddiq, Muhammad Adam Zikry, Farhana Fatimah dan Khairun Nasuha. Para pelajar memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan sebagai medium pembelajaran sejarah dan warisan Pulau Sabang. Modul ini memberi tumpuan kepada usaha mendokumentasikan dan mempromosikan sejarah dan warisan Pulau Sabang melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI). Modul ini dibangunkan bagi membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pemandu pelancong tempatan dalam menyampaikan maklumat sejarah secara lebih menarik, interaktif dan mudah diakses. Melalui pendekatan ini, pelawat berpeluang meneroka sejarah, budaya dan lokasi penting di Pulau Sabang secara maya, sekali gus menyokong usaha pemeliharaan warisan tempatan dan memperkukuh sektor pelancongan berasaskan teknologi. Projek ini turut menarik perhatian Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Sabang untuk menjalinkan kerjasama dengan UPSI dan satu sesi pertemuan bersama ahli-ahli persatuan telah diadakan pada 15 Mei 2026 di Arpen Bungalow, Iboih di mana perbincangan lanjut projek kolaborasi telah dijalankan.

Pada sebelah malamnya, Majlis Penutup ISL Aceh 2026 telah berlangsung dengan sangat meriah sekali. Majlis dimulakan dengan ucapan Pengarah Program dan diteruskan dengan ucapan wakil komuniti yang disampaikan oleh Sekretaris Desa, Husaini. Wakil pelajar setiap universiti turut berkongsi refleksi, pengalaman dan impak yang diperoleh sepanjang penglibatan mereka dalam program ini. Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama) Universitas Teuku Umar, Dr. Ir. M. Aman Yemen, M. Agric. Sc. Program turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan daripada peserta setiap universiti sebagai simbolik perpaduan, persefahaman budaya dan semangat kerjasama antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia. Delegasi UPSI telah mempersembahkan lagu Sayang Kinabalu bersama tarian sumazau yang diketuai oleh saudara Aylord Joy Phillipie Shoibih dan saudari Essly John dengan penyertaan seluruh ahli delegasi terdiri daripada pelajar dan pensyarah UPSI yang menyertai ISL2026.

Selain pelaksanaan modul komuniti, peserta turut mengikuti program lawatan akademik dan sejarah di sekitar Banda Aceh selama dua hari. Antara lokasi yang dilawati ialah Museum Aceh, Kapal PLTD Apung, Masjid Keuchik Leumiek, Museum Tsunami Aceh serta Kapal Atas Rumah. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah, budaya dan peristiwa tragedi tsunami 2004 yang telah mengubah landskap sosial serta pembangunan Aceh. Melalui lawatan tersebut, peserta berpeluang memahami ketabahan masyarakat Aceh dalam membangunkan semula kehidupan pascabencana, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesiapsiagaan bencana, kemanusiaan dan pemeliharaan warisan sejarah untuk generasi akan datang.

Pelaksanaan Program ISL 2026 bukan sahaja dilaksanakan secara bersemuka di Aceh, malah peserta perlu mengikuti tiga siri Online Global Classroom sebagai platform persediaan dan refleksi program. Siri pertama yang diadakan pada 27 April 2026 memberi ruang kepada pensyarah daripada setiap universiti yang terlibat untuk membincangkan modul, perancangan aktiviti dan keperluan pelaksanaan program komuniti di Aceh. Seterusnya, pada 4 Mei 2026, para pelajar membentangkan modul yang akan dilaksanakan mengikut fakulti masing-masing bagi mendapatkan maklum balas dan penambahbaikan sebelum program dijalankan. Selepas tamat program, sesi Online Global Classroom 3 (Reflection) telah diadakan sebagai platform refleksi pembelajaran, di mana peserta berkongsi pengalaman, cabaran, impak program serta pembelajaran yang diperoleh sepanjang penglibatan dalam ISL Aceh 2026. Peserta turut membentangkan laporan refleksi individu, video refleksi dan hasil dokumentasi modul sebagai bukti pencapaian hasil pembelajaran program.

Secara keseluruhannya, Program ISL Aceh 2026 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa, memupuk semangat kesukarelawanan dan memperkasakan pembangunan komuniti melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman. Program ini turut memberi peluang kepada peserta dalam mengembangkan kompetensi global, kemahiran kepimpinan dan keprihatinan sosial yang penting dalam melahirkan graduan berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat sejagat. Penyertaan UPSI dalam ISL 2026 selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global serta menyokong pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti berkaitan mobiliti pelajar dan pelaksanaan SULAM@UPSI. Program ini juga dijangka meningkatkan keterlihatan UPSI sebagai universiti pendidikan yang aktif dalam melaksanakan pembelajaran berimpak tinggi berasaskan komuniti di peringkat antarabangsa. Melalui pelaksanaan ISL 2026, UPSI terus komited memperkasakan pengalaman pembelajaran global yang bermakna kepada pelajar, sekali gus memperkukuh hubungan akademik dan komuniti rentas negara demi manfaat bersama institusi, masyarakat dan pembangunan pendidikan serantau.