Oleh: Nur Syafiqah Mohd Syamsuri

Tanjong Malim, 16 November 2025 – Program “The Last Light: Where Every Sunset Tells a Story” anjuran Exco Blok Kediaman 1, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlangsung dengan penuh meriah, menggabungkan keindahan senja dengan pengisian bermakna yang sarat nilai emosi serta nilai kemanusiaan. Program ini bertujuan memupuk penghargaan terhadap alam semula jadi, menggalakkan refleksi diri dalam kalangan peserta dan memperkukuh semangat kebersamaan melalui aktiviti berteraskan seni dan budaya.

Program bermula dari 8 hingga 12 November 2025 melalui proses pendaftaran peserta serta muat naik gambar ke media sosial TikTok KHAR 1. Pendaftaran yang dijalankan selama lima hari itu disusuli sesi penilaian gambar oleh pihak penganjur selama tiga hari, bermula 13 hingga 15 November 2025. Seramai 150 penghuni daripada Blok Kediaman 1 hingga Blok Kediaman 4 turut menyertai program tersebut.

Majlis penutup yang diadakan pada 16 November 2025 dirasmikan dengan kehadiran Ahli Jawatankuasa Pelaksana, para peserta serta Felo Penasihat Blok Kediaman 1, Hazman Ya’akob. Majlis turut diserikan dengan ucapan beliau yang merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Pengarah Program, Sapura Mohd Masdin selaku Ketua Blok Kediaman 1, bersama seluruh jawatankuasa yang telah berusaha memastikan kelancaran penganjuran program berkenaan.

Program ini dihangatkan lagi dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang yang juga turut menjadi wadah penghargaan kepada para peserta yang telah menyertai program ini dan telah menyerlah dalam pelbagai kategori pertandingan. Sebanyak 10 saguhati diberikan kepada para peserta dan 3 hadiah menarik diberikan kepada pemenang yang memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga.

Sebagai penutup tirai acara, sesi fotografi program “The Last Light: Where Every Sunset Tells a Story” telah diadakan bagi merakam detik berharga antara peserta, penganjur dan tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan kerjasama semua pihak.

Program “The Last Light: Where Every Sunset Tells a Story” telah menjadi titik permulaan kepada penganjuran aktiviti yang lebih inspiratif, memupuk nilai refleksi diri, dan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam komuniti kalangan penghuni kolej. Sebagai penutup, diharapkan kesinambungan program “The Last Light: Where Every Sunset Tells a Story” akan terus memupuk kesedaran terhadap keindahan alam, nilai kehidupan, serta menggalakkan mahasiswa mengekspresikan kreativiti dan jati diri mereka dengan lebih bermakna.