Oleh : Dr. Mohamad Albaree Abdul
Kuala Lumpur, 13 November 2025 – Seramai 40 pelajar ISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencuri perhatian apabila mereka menyertai Program Planet Kiddos di Planetarium Negara, sebuah kerjasama rasmi antara Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK), Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI dan Planetarium Negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).
Program ini menekankan pendedahan astronomi dan sains angkasa melalui pembelajaran pengalaman. Pelajar mengikuti demonstrasi konsep cahaya, pergerakan planet dan fenomena angkasa, sebagai persediaan membina pedagogi STEM kreatif untuk kanak-kanak Prasekolah.



Dr. Mohamad Albaree Abdul, pensyarah pengiring, menyatakan program ini membuka ruang imaginasi bakal pendidik. “Apabila pelajar melihat sendiri fenomena angkasa, mereka lebih bersedia merancang pengajaran yang kreatif dan memberi inspirasi,” katanya.
Ketua Jabatan PAKK, Dr. Seah Siok Peh, memuji keberkesanan modul yang dirangka Planetarium Negara. “Pendedahan hands-on seperti ini meningkatkan literasi STEM pelajar dan membantu mereka merancang pembelajaran lebih menarik dan bermakna,” ujarnya.
Pelajar mengikuti Modul Pelangi melalui aktiviti Spektrum Cahaya, Reversed Rainbow dan pembinaan Model Matahari 3D, sebelum meneruskan Modul Bulan yang merangkumi simulasi fasa-fasa bulan serta pengenalan kepada konsep meteorit sebenar.



Program diteruskan dengan aktiviti pencerapan Matahari menggunakan teleskop solar khas yang dikendalikan oleh pegawai Planetarium Negara.
Aktiviti ini menjadi kemuncak program yang memberi pelajar pengalaman langsung tentang teknik pencerapan yang sebenar.


Menurut Nurul Najwa Nabila, Pengarah program, pengalaman ini sangat memberi inspirasi.
“Modulnya interaktif dan banyak boleh digunakan semula untuk aktiviti bermain sambil belajar. Ia sangat berguna untuk latihan mengajar nanti,” katanya.
Program diakhiri dengan lawatan galeri angkasa dan tayangan khas “Kitz The Cat’s Supermoon Adventure”, yang memvisualkan fenomena supermoon dalam bentuk animasi pendidikan yang mudah difahami dan sesuai untuk pembelajaran awal.


Program Planet Kiddos mengukuhkan peranan UPSI dalam melahirkan bakal pendidik yang kreatif, celik STEM dan mampu memanfaatkan sains angkasa dalam pendidikan awal kanak-kanak melalui aktiviti yang menyeronokkan dan berkesan.
