Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon, Dr. Hjh. Noraini binti Abdullah & Nurul Izzah binti Fazeli Shah

Tanjong Malim, 3 Julai 2026 – Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas (PM2PK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Majlis Bacaan Yasin AT10 secara konsisten sepanjang Semester 1 dan Semester 2 Sesi 2025/2026 sebagai salah satu inisiatif memperkukuhkan pembangunan sahsiah, kerohanian dan kebajikan dalam kalangan mahasiswa Program Pendidikan Khas (AT10).

Program yang dilaksanakan secara berkala ini menjadi platform untuk menyatukan warga AT10 dalam suasana penuh keinsafan melalui amalan membaca Surah Yasin serta memanjatkan doa kepada Allah SWT. Objektif utama penganjuran adalah bagi mendoakan kesembuhan warga AT10, ahli keluarga mahasiswa, pensyarah serta individu yang sedang menerima rawatan di hospital atau diuji dengan masalah kesihatan. Selain itu, majlis ini turut diadakan bagi memohon kesejahteraan, keselamatan, kesihatan, ketenangan dan perpaduan seluruh warga Program Pendidikan Khas.

Bacaan Yasin turut dihadiahkan kepada ahli keluarga mahasiswa, alumni serta warga UPSI yang telah kembali ke rahmatullah sebagai tanda penghormatan dan ingatan kepada mereka yang telah pergi. Pendekatan ini bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan mahasiswa terhadap kebajikan rakan-rakan dan keluarga mereka, malah mengukuhkan semangat saling membantu serta saling mendoakan ketika berhadapan dengan ujian kehidupan.

Sepanjang Semester 1 Sesi 2025/2026, sebanyak enam siri Majlis Bacaan Yasin telah dianjurkan bermula pada 21 Disember 2025. Majlis-majlis tersebut diadakan bagi mendoakan ahli keluarga mahasiswa yang meninggal dunia, individu yang sedang menerima rawatan serta memohon keberkatan dan kelancaran sempena Minggu Peperiksaan Akhir Semester. Program diteruskan pada Semester 2 Sesi 2025/2026 dengan tujuh lagi siri penganjuran yang melibatkan mahasiswa, alumni, pensyarah dan ahli keluarga warga AT10 yang memerlukan sokongan serta doa daripada komuniti Program Pendidikan Khas.

Kemuncak penganjuran bagi Semester 2 telah berlangsung pada 3 Julai 2026 bersempena Minggu Peperiksaan Akhir Semester 2 Sesi 2025/2026. Majlis ini memberikan ruang kepada mahasiswa untuk memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT melalui bacaan Surah Yasin dan doa bersama sebelum menghadapi peperiksaan akhir. Pengisian tersebut diharap dapat memberikan ketenangan jiwa, meningkatkan keyakinan diri serta memohon keberkatan ilmu agar segala urusan pembelajaran dipermudahkan.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Dr. Hjh.  Noraini binti Abdullahyang sentiasa menggalakkan pelaksanaan aktiviti pembangunan sahsiah dan kesejahteraan mahasiswa secara holistik. Di samping itu, Penyelaras PM2PK, Dr. Vestly Kong Liang Soon turut menzahirkan sokongan terhadap penganjuran program yang mampu membentuk bakal pendidik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai nilai kerohanian, empati dan keprihatinan yang tinggi dalam mendepani cabaran profesion keguruan.

Selaras dengan aspirasi UPSI, pembangunan mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik, bahkan turut memberi penekanan kepada pembentukan adab, akhlak, integriti dan keseimbangan emosi. Program seperti Majlis Bacaan Yasin menjadi medium penting dalam menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati, semangat kekeluargaan serta budaya saling mendoakan yang menjadi asas kepada pembentukan guru Pendidikan Khas yang berjiwa pendidik dan berakhlak mulia.

Secara keseluruhannya, Majlis Bacaan Yasin AT10 telah berjaya menjadi platform yang menyatukan seluruh warga Program Pendidikan Khas dalam satu ikatan ukhuwah yang kukuh. Diharapkan penganjuran program seumpama ini akan terus menjadi tradisi yang memperkukuhkan kesejahteraan komuniti kampus serta melahirkan graduan UPSI yang bukan sahaja berilmu dan profesional, malah memiliki sahsiah unggul, nilai kemanusiaan yang tinggi dan sentiasa menghayati konsep “mahasiswa prihatin, pendidik berintegriti” dalam setiap aspek kehidupan.