Peserta bergambar bersama dengan Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI dan Ganesan Jeyabalan, Pengerusi MIICA

Oleh: Nadia Shahira Amiruddin

Kuala Lumpur, 23 November 2025 – Kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun dari Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) sekali lagi mengharumkan nama institusi apabila berjaya meraih tiga Anugerah Perak (Silver Awards) dalam World Innovation in STEM Competition 2025 (WINSTEM2025). Pertandingan berprestij bertaraf antarabangsa ini menghimpunkan peserta daripada 14 buah negara untuk mempamerkan idea, kreativiti dan inovasi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Penyertaan NCDRC melibatkan tiga kumpulan inovasi yanag setiap satunya terdiri daripada 4 oarg kanak-kanak, masing-masing menghasilkan projek berasaskan pembelajaran STEM awal kanak-kanak. Projek-projek tersebut ialahElectro Food Glow dari kelas 6 Hibiscus dan guru pembimbing ialah Nursyazwani Ismail. Projek ini memberi fokus kepada penerokaan sains secara hands-on dalam menggalakkan kanak-kanak membuat pemerhatian, menjalankan eksperimen dan membina kemahiran membuat rumusan secara kreatif.

Projek yang kedua pula ialah Little Maths Coders dari kelas 6 Carnation dan guru pembimbing ialah Azura Yusofe. Projek ini menekankan elemen coding Matematik bagi membantu kanak-kanak 6 tahun memahami asas nombor, susunan logik dan konsep algoritma mudah melalui aktiviti yang menyeronokkan.

Projek yang ketiga ialah Coding Puzzle dari kelas 5 Aster dan guru pembimbing ialah Mimi Baijura Yusuff. Projek ini menumpukan kepada aktiviti coding asas untuk kanak-kanak 5 tahun untuk membina kemahiran pemikiran logik, penyelesaian masalah dan kefahaman konsep nombor melalui permainan berasaskan teka-teki.

Dua daripada pasukan ini merupakan kumpulan STEM berasaskan coding Matematik, manakala satu lagi adalah projek berasaskan Sains bagi kanak-kanak 6 tahun. Kesemua guru pembimbing memainkan peranan besar dalam membimbing kanak-kanak menghasilkan projek inovatif yang sesuai dengan perkembangan usia mereka.

Majlis penyampaian anugerah WINSTEM2025 telah berlangsung di Pusat Sains Negara dan disempurnakan oleh Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi). “Penyertaan seumpama ini ialah platform penting bagi memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak untuk meneroka dunia inovasi secara kreatif dan kritis”, ujar beliau.

Kejayaan membawa pulang tiga Anugerah Perak ini bukan sahaja membanggakan NCDRC UPSI, malah membuktikan bahawa pendidikan STEM awal kanak-kanak mampu melahirkan generasi pemikir masa hadapan yang penuh potensi dan daya inovasi.