Oleh: Norelme Mokhtar & Nadia Shahira Amiruddin
Tanjung Malim, 20 November 2025 – Program TOPAZ 2025 berlangsung meriah di TASKA dan TADIKA BITARA Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak (NCDRC) melibatkan lokasi di Blok D, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah serta Kampus Sultan Azlan Shah. Penganjuran program ini bertujuan meraikan kanak-kanak sebagai permata generasi baharu dengan menyediakan ruang kepada mereka menikmati pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan bermanfaat.
Seramai 290 kanak-kanak dari TASKA dan TADIKA NCDRC telah memeriahkan Program TOPAZ 2025 yang julung kali diadakan di UPSI. Dengan tema “Hak Kami, Masa Depan Kami”, program ini mengetengahkan pelbagai aktiviti kreatif mengikut kategori umur.
Bagi kanak-kanak berusia bayi hingga dua tahun, Pertandingan Comel menampilkan si kecil melalui Outfit Kreatif dan Eksplorasi Lincah, sekali gus membantu membina keyakinan diri dan kemahiran sosial mereka. Seterusnya, kategori umur tiga dan empat tahun menyertai Pertandingan Sand Art: Sayangi Alam Sekitar yang menggalakkan kreativiti menerusi seni pasir sambil memupuk kesedaran awal tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Bagi kanak-kanak berusia lima dan enam tahun pula, aktiviti Batik Mini Saya memberi peluang kepada mereka menghasilkan corak batik secara hands-on, sekaligus memperkenalkan seni budaya tempatan melalui pengalaman praktikal yang menarik.
Program TOPAZ 2025 bukan sahaja bertujuan meraikan kanak-kanak, malah menjadi platform pembelajaran melalui bermain yang selaras dengan Kurikulum PERMATA dan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Penglibatan aktif pendidik memastikan setiap aktiviti dijalankan dengan teratur serta memberi pengalaman positif kepada semua peserta.


Program turut dimeriahkan dengan sesi penyampaian hadiah sebagai penghargaan terhadap usaha dan kreativiti kanak-kanak. Sekali lagi, Program TOPAZ menonjolkan komitmen UPSI dalam menyediakan persekitaran pembelajaran awal yang berkualiti, inklusif dan mesra kanak-kanak, di samping menghargai mereka sebagai aset penting masa depan negara.
