Oleh: Jamilah Mohd Basir

KUANTAN, 27 November 2025 – Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh jaringan strategik bersama institusi pendidikan tinggi apabila menerima jemputan untuk mengadakan Sesi Perkongsian dan Promosi Pengambilan Pelajar Pascasiswazah di Fakulti Pendidikan dan Pengajian Umum, University College of Yayasan Pahang (UCYP).

Program ini bertujuan memberi pendedahan komprehensif kepada bakal pelajar mengenai laluan pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di UPSI, di samping membincangkan isu semasa dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak. Sesi tersebut turut menjadi platform pengukuhan hubungan akademik antara UPSI dan UCYP, sekali gus memperluas potensi kerjasama pada masa hadapan.

Dalam program berkenaan, NCDRC diwakili oleh Timbalan Pengarah (Penyelidikan & Inovasi), Dr. Intan Farahana Abdul Rani, yang berkongsi hala tuju penyelidikan strategik pusat tersebut. Turut hadir Timbalan Pengarah (Akademik & Perkembangan Kanak-Kanak), Dr. Nadia Shahira Amirudin, yang memberikan penerangan mengenai pengembangan akademik serta peluang pembelajaran lanjutan di UPSI.

Perbincangan bersama UCYP turut disertai oleh Penolong Profesor Ts. Dr. Mohd. Hamisa Abdul Hamid, Timbalan Naib Canselor (Akademik), UCYP University, serta Rozita Jusoh, Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Umum, UCYP University.

Menurut Penolong Profesor Ts. Dr. Mohd. Hamisa, program ini memberikan pendedahan yang amat bermanfaat kepada para pelajar untuk memahami laluan pengajian pascasiswazah dengan lebih jelas. Beliau berkata kehadiran wakil NCDRC bukan sahaja memperluas wawasan akademik pelajar, tetapi turut mengukuhkan kerjasama strategik antara UCYP dan UPSI.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif sebegini merupakan platform penting dalam memupuk budaya penyelidikan serta mempersiapkan graduan yang lebih kompeten dan berdaya saing.

Sementara itu, Dr. Nadia Shahira Amirudin berkata, “Sesi soal jawab bersama bakal pelajar turut diadakan, membolehkan peserta mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai peluang pengajian serta sokongan akademik yang ditawarkan UPSI.”

Melalui inisiatif ini, NCDRC dan UPSI terus menegaskan komitmen dalam memacu pembangunan pendidikan awal kanak-kanak berasaskan penyelidikan dan inovasi, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta peranan UPSI sebagai peneraju pendidikan negara.