Oleh: Fan Xin Ru
Tanjung Malim, 22 November 2025 – Program Santuni Masyarakat (PSM): Warna Kasih Komuniti telah berjaya dilaksanakan di Tadika Sinar Bakti, Tanjung Malim sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini dianjurkan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak Semester 5 di bawah kursus KPG3013: Insan Guru Profesional, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM).
Program ini melibatkan seramai 24 orang mahasiswa UPSI, kanak-kanak tadika, ibu bapa kanak-kanak serta pihak pengurusan tadika.



Penglibatan pelbagai pihak ini bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat melalui pendekatan yang santun, inklusif dan berteraskan nilai kasih sayang.
Program yang berkonsepkan gotong-royong dan melukis mural ini bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih ceria, kondusif dan mesra kanak-kanak, di samping memperkukuh hubungan antara mahasiswa UPSI dengan komuniti setempat.
Pelaksanaan program ini turut menekankan nilai kesantunan, kasih sayang dan kerjasama sebagai asas pembentukan masyarakat yang harmoni.



Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk sesi suai kenal, gotong-royong membersihkan kawasan tadika serta aktiviti melukis mural yang dilaksanakan secara bersama oleh pelajar, kanak-kanak, ibu bapa dan guru tadika.
Penglibatan aktif mahasiswa, guru, ibu bapa dan kanak-kanak jelas mencerminkan semangat kebersamaan serta interaksi positif antara institusi pendidikan dan komuniti setempat.
Selepas selesai aktiviti gotong-royong dan melukis mural, beberapa orang pelajar bertindak sebagai fasilitator dengan membimbing kanak-kanak dan ibu bapa dalam aktiviti eksperimen sabun.
Aktiviti ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka pembelajaran secara hands-on dalam suasana yang menyeronokkan, di samping menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dalam proses pembelajaran anak-anak.
Melalui penganjuran program ini, mahasiswa bukan sahaja dapat menyumbang secara langsung kepada komuniti, malah berpeluang mengaplikasikan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan perancangan program. Usaha ini selari dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan berjiwa masyarakat serta berimpak sosial positif.
Program Santuni Masyarakat: Warna Kasih Komuniti membuktikan bahawa pendekatan santun dan berteraskan kasih sayang mampu memberi kesan bermakna kepada komuniti, khususnya dalam menyokong perkembangan awal kanak-kanak.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform kolaborasi berterusan antara universiti dan masyarakat.

