Tanjung Malim, 10 Januari 2026 – Telah berlangsung Kem Latihan Kontinjen Bank Rakyat Perak di STAR Wellness Hub, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJ) sebagai persediaan menghadapi Sukan Bank Rakyat 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Februari nanti.
Kem latihan ini dianjurkan oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) dengan kerjasama Pusat Sukan UPSI, melibatkan pelbagai acara sukan termasuk bola tampar, sepak takraw, bola jaring, tenis, futsal, badminton, pingpong dan bola sepak.
Penganjuran ini bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan atlet serta memperkukuh aspek teknikal dan taktikal menjelang kejohanan sebenar.



Program dimulakan dengan sesi psikologi yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Thariq Khan, yang berkongsi pelbagai strategi persediaan mental bagi membantu atlet menghadapi tekanan pertandingan.
Sesi tersebut memberi penekanan kepada fokus, pengurusan emosi, dan keyakinan diri sebagai elemen penting dalam prestasi sukan berprestasi tinggi.
Kemudian, program diteruskan dengan siri perlawanan persahabatan antara Kelab Sukan UPSI dan Kontinjen Bank Rakyat Perak.
Perlawanan ini bukan sahaja menguji tahap kecergasan dan kemahiran atlet, malah membuka ruang perkongsian ilmu antara kedua-dua pasukan.


Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua atlet Kelab Sukan UPSI yang memberikan komitmen penuh sepanjang perlawanan serta sudi berkongsi tips dan pengalaman kepada kontinjen Bank Rakyat Perak.
Penganjuran kem latihan ini mencerminkan komitmen berterusan FSSK dan Pusat Sukan UPSI dalam menyokong pembangunan sukan berprestasi tinggi, di samping memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan agensi luar melalui platform sukan dan kesihatan.
