Oleh: Dr. Fairus Fariza Zainudin
TANJONG MALIM, 3 Januari 2026 – Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan(FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan, malah berdaya cipta dalam menangani cabaran kecederaan sukan melalui Program REBOUND (Rehabilitation and Evidence-Based Outreach for National Development) Siri 2 yang berlangsung pada 3 Januari 2026.

Program yang bertemakan “Amalan Berasaskan Bukti Saintifik (Evidence-Based Practice)” ini melibatkan seramai 105 orang pelajar daripada dua program pengajian utama, iaitu AT59 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dan AS74 Ijazah Sarjana Muda Kejurulatihan Sukan. Inisiatif ini bukan sekadar satu platform pembelajaran, tetapi merupakan manifestasi transformasi kurikulum yang menekankan pendekatan holistik dalam pengurusan kecederaan sukan berasaskan kajian terkini dan amalan terbaik global.


Memperkasa Pengetahuan Melalui Aplikasi Praktikal
Salah satu daya tarikan utama Program REBOUND Siri 2 ialah showcase pelbagai 30 kecederaan sukan yang khusus memberi tumpuan kepada atlet muda dan atlet berprestasi tinggi. Setiap tajuk yang dibentangkan merangkumi spektrum pengurusan kecederaan yang menyeluruh – bermula daripada aspek pencegahan, pengenalpastian risiko, tanda dan gejala kecederaan akut dan kronik, sehingga kepada protokol rawatan dan pemulihan yang efektif.
Para pelajar mempamerkan kefahaman berkaitan senaman ansur maju progresif yang diselaraskan dengan amalan terkini dalam bidang rehabilitasi sukan. Pendekatan ini sangat relevan dalam konteks sukan Malaysia yang semakin menyedari kepentingan pengurusan kecederaan yang sistematik, terutamanya dalam kalangan atlet muda yang sedang dalam fasa pembangunan fizikal dan teknikal kritikal.

Evolusi Paradigma Rawatan: RICE ke POLICE dan PEACE & LOVE
Antara intipati paling signifikan dalam Program REBOUND Siri 2 ialah pendedahan kepada evolusi prinsip rawatan awal kecederaan sukan, daripada pendekatan konvensional RICE, kepada POLICE, dan seterusnya kepada paradigma terkini PEACE & LOVE.
Pendekatan RICE (Rest, Ice, Compression, Elevation) telah lama menjadi asas rawatan awal kecederaan akut dengan fokus utama kepada kawalan kesakitan dan pembengkakan. Walau bagaimanapun, bukti saintifik terkini menunjukkan bahawa rehat sepenuhnya dalam tempoh yang terlalu lama boleh melambatkan proses penyembuhan tisu.
Seiring perkembangan sains pergerakan, konsep POLICE (Protection, Optimal Loading, Ice, Compression, Elevation) diperkenalkan bagi menggantikan elemen “Rest” dengan beban optimum (optimal loading). Pendekatan ini menekankan kepentingan pergerakan awal yang terkawal bagi merangsang adaptasi tisu dan mempercepatkan pemulihan fungsi.
Lebih terkini, paradigma PEACE & LOVE diperkenalkan sebagai pendekatan komprehensif yang merangkumi keseluruhan spektrum pengurusan kecederaan, daripada fasa akut sehingga fasa pemulihan aktif. PEACE menekankan perlindungan awal, pendidikan pesakit dan pengurusan beban yang berhemah, manakala LOVE memberi fokus kepada pemulihan aktif melalui peningkatan beban progresif, pengaliran darah, senaman khusus serta elemen psikologi positif seperti keyakinan dan optimisme atlet terhadap proses pemulihan.
Penerapan prinsip PEACE & LOVE ini mencerminkan pemahaman moden bahawa pemulihan kecederaan bukan sekadar proses fizikal, tetapi juga melibatkan pendidikan, pemerkasaan kendiri dan kesiapsiagaan mental atlet. Pengetahuan ini amat kritikal bagi bakal guru Pendidikan Jasmani dan jurulatih muda yang bakal berkhidmat di sekolah-sekolah seluruh negara.


Kepentingan Inovasi dalam Rehabilitasi
Encik Muhammad Yusridzwan Danial Bin Yusof, sebagai salah seorang juri yang dilantik untuk menilai program ini, memberikan perspektif berharga yang meluaskan skop objektif program. Beliau menekankan bahawa pendedahan kepada rehabilitasi saintifik sahaja tidak mencukupi; penerapan idea inovasi dalam pemulihan kecederaan merupakan aspek asas dalam melahirkan bakal graduan yang berdaya cipta dan responsif terhadap keperluan semasa.
“Inspirasi daripada projek sebegini perlu diteruskan dengan melibatkan perkongsian ilmu daripada pakar dalam pelbagai disiplin, serta perkongsian dengan orang awam, khususnya atlet rekreasi di Malaysia yang semakin ramai tetapi masih kurang akses kepada khidmat pengurusan kecederaan yang berkualiti,” ujar Yusridzwan.
Pandangan ini membuka ruang perbincangan tentang peranan UPSI sebagai institusi pendidikan guru dalam merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dengan aplikasi praktikal di peringkat akar umbi.
Persiapan Menjelang Kejohanan Sekolah: MSSD dan MSSM
Pelaksanaan Program REBOUND Siri 2 ini amat tepat pada masanya, khususnya menjelang Kejohanan Sukan Sekolah Peringkat daerah (MSSD) dan Peringkat Negeri (MSS Negeri) yang bakal berlangsung dalam beberapa bulan akan datang. Kejohanan-kejohanan ini merupakan platform utama bagi atlet muda sekolah untuk membangunkan bakat dan mencapai kecemerlangan sukan. Cabaran utama adalah melatih atlet muda ketika menempuh bulan Puasa Ramadhan dan juga berusaha membina prestasi atlet agar bersedia dengan kejohanan yang akan datang.
Namun, realiti membuktikan program seperti pencegahan dan pengurusan kecederaan dalam kalangan guru, jurulatih, dan pelajar sekolah masih terhad. Masih banyak ruang kolaborasi di antara Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI dan sekolah bagi melaksanakan program Pencegahan Kecederaan dalam kalangan atlet muda, agar pengetahuan akademik dapat disampaikan ke lapisan akar umbi sekaligus menjadi asas kepada peningkatan prestasi optimum dan kesinambungan kerjaya sukan atlet muda. Kecederaan yang tidak diurus dengan baik bukan sahaja menjejaskan prestasi jangka pendek, malah boleh membawa implikasi kesihatan jangka panjang yang serius.
Melalui program seperti REBOUND, bakal guru dan guru jurulatih yang dilatih di UPSI akan dilengkapi dengan pengetahuan terkini dan kemahiran praktikal untuk mengendalikan pengurusan kecederaan sukan secara efisien dan berasaskan bukti. Ini akan membentuk asas yang kukuh dalam membantu kecemerlangan atlet muda di sekolah-sekolah, memastikan mereka dapat bersaing dengan selamat dan yakin.
Membina Ekosistem Pencegahan dan Pemulihan
Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI dengan ini menjemput pelbagai pihak berkepentingan untuk menjalinkan kolaborasi strategik dalam siri Pendidikan Pencegahan Kecederaan dan Rehabilitasi Sukan. Peluang kerjasama ini terbuka kepada kepada Institusi Pendidikan dan Sekolah di Malaysia sebagai satu platform untuk program latihan dan pendidikan berterusan kepada guru-guru Pendidikan Jasmani, Sains Sukan dan guru jurulatih sukan sekolah dalam pengurusan kecederaan yang terkini.
Kolaborasi ini bukan sahaja akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar UPSI, malah akan mencipta impak jangka panjang terhadap kesihatan dan kecemerlangan atlet muda seluruh negara. Program REBOUND Siri 2 membuktikan bahawa UPSI komited untuk terus menjadi pelopor dalam melahirkan pendidik dan profesional sukan yang holistik, inovatif, dan relevan dengan keperluan semasa. Graduan UPSI bukan sahaja bersedia untuk melatih dan membimbing, tetapi juga untuk merawat dan memulihkan atlet muda dengan pengetahuan terkini dan sikap yang profesional.
