Oleh: Dr. Nurul Fadhilah Abdullah
TANJUNG MALIM, 6 Jun – Kerjasama strategik antara universiti awam, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) diperkukuh bagi mengoptimumkan kepakaran akademia dalam menyokong persediaan atlet negara menjelang Sukan SEA 2027.
Perkara itu dipersetujui dalam sesi penyelarasan kerjasama yang melibatkan Majlis Ketua Pengajian Sukan Universiti Awam bersama MSN dan ISN yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.
Perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dan dihadiri Ketua Pengarah MSN, En. Jefri Ngadirin; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perubatan Sukan) ISN, Dr. Kamarul Hashimy Hussein; ketua-ketua pengajian sukan universiti awam serta wakil daripada MSN, ISN dan UPSI.
Antara fokus utama perbincangan ialah penglibatan universiti dalam menyediakan perkhidmatan sains sukan kepada atlet kebangsaan berdasarkan kepakaran yang terdapat di universiti masing-masing. Bagi menyelaras pelaksanaan kerjasama tersebut, satu pasukan petugas (task force) berpusat akan diwujudkan dan diketuai oleh Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria. Pasukan itu akan menyelaras penglibatan universiti mengikut bidang kepakaran, jenis sukan dan keperluan yang ditetapkan oleh MSN serta ISN.
Mesyuarat turut bersetuju supaya model latihan industri pelajar diperkemas bagi memenuhi keperluan sebenar MSN dan ISN, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang sains sukan.
Selain itu, ISN menyatakan komitmen untuk menyediakan geran penyelidikan kepada ahli akademik universiti bagi menggalakkan penyelidikan berimpak tinggi yang dapat menyumbang secara langsung kepada peningkatan prestasi atlet negara.



Kerjasama tiga pihak itu juga akan diperluaskan melalui penawaran geran penyelidikan, pembangunan modul sijil profesional bertaraf antarabangsa dan pembangunan kurikulum akademik IPT bagi memastikan universiti menghasilkan penyelidikan dan graduan yang relevan dengan keperluan semasa pembangunan sukan negara.
Perbincangan turut menekankan keperluan pendekatan multidisiplin dengan melibatkan fakulti-fakulti lain di universiti, bagi menyokong pembangunan atlet paralimpik melalui kepakaran dalam bidang psikologi, pendidikan khas dan pembangunan insan.
Langkah tersebut dilihat mampu mengoptimumkan kepakaran universiti awam negara serta memperkukuh ekosistem pembangunan sukan berprestasi tinggi melalui sinergi antara akademia, industri dan agensi sukan negara.
