Oleh Arif Imran Haqimy Bin Ahmad & Dr Ahmad Saufiyyan Bin Abu Hassan 12/1/2026 | 12:36 PM
Tanjong Malim – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan tiada sebarang jejak harimau ditemui di kawasan perumahan Proton City, Tanjong Malim selepas siasatan dijalankan pada 11 Januari 2026. Siasatan dibuat susulan penularan video di media sosial yang mendakwa kedengaran ngauman harimau berhampiran kawasan rekreasi Ujana Muallim.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, menjelaskan bahawa laporan daripada pegawai yang turun ke lokasi mendapati dakwaan tersebut tidak berasas. Beliau menegaskan tindakan menyebarkan video palsu mengenai kehadiran haiwan liar boleh menimbulkan panik dalam kalangan penduduk serta mengganggu usaha pihak berkuasa menguruskan isu hidupan liar.
“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan bukan sesuatu yang boleh dijadikan bahan jenaka. Kami tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu,” katanya ketika dihubungi media.
Video berdurasi 15 saat yang tular di Facebook dan WhatsApp itu mendakwa bunyi ngauman harimau dirakam berhampiran kawasan Proton City. Namun hasil pemeriksaan lapangan mendapati tiada kesan tapak kaki atau tanda kehadiran harimau di kawasan tersebut.
Penduduk setempat yang ditemui turut menyuarakan kebimbangan terhadap penularan berita palsu. Seorang penduduk, Encik Rahman, berkata penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan ketakutan terutama kepada keluarga yang tinggal berhampiran kawasan hutan.
Kes ini menjadi peringatan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat di media sosial. Tindakan tidak bertanggungjawab boleh menjejaskan keselamatan komuniti dan menimbulkan keresahan awam. Perhilitan menegaskan hanya laporan rasmi daripada pihak berkuasa boleh dijadikan rujukan sahih mengenai isu hidupan liar.
