Oleh: Nurhaidah Mohd Bantilan@ Mohamad
Tanjong Malim, 17 Disember 2025– Persatuan Geografi (PERGEO) Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Kerjaya Talk: Persediaan ke Alam Kerjaya dengan jayanya melalui platform Google Meet dan YouTube Live. Program yang dikendalikan oleh Exco Akademik dan Kerjaya PERGEO ini berjaya menghimpunkan kira-kira 330 orang peserta di Google Meet dan 94 orang yang mengikuti siaran secara langsung melalui YouTube.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta bimbingan awal kepada mahasiswa mengenai persediaan memasuki alam kerjaya, khususnya dari aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap profesional yang diperlukan.
Cikgu Yusuff Ahmad@ Harun telah dijemput sebagai penceramah utama program ini, berbekalkan pengalaman luas beliau sebagai guru cemerlang, personaliti Guru Didik TV KPM serta pengkarya modul pendidikan. Beliau berkongsi pelbagai pengalaman dan panduan praktikal bagaimana mahasiswa boleh mempersiapkan diri menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Program ini selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam melahirkan graduan yang holistik, bercirikan nilai murni dan kompeten, seiring dengan tuntutan pasaran kerja semasa dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4: Pendidikan Berkualiti).

Sepanjang sesi, penceramah menekankan kepentingan penguasaan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi berkesan, pemikiran kritis, kreativiti dan kolaborasi sebagai pelengkap kepada pencapaian akademik. Beliau turut mengupas konsep nilai INSPIRE yang merangkumi Integrity, Noble, Strong, Positive, Innovative, Respect dan Excellent sebagai teras pembentukan jati diri seorang pendidik dan profesional. Nilai-nilai tersebut dihubungkan dengan situasi sebenar di sekolah dan tempat kerja, sekali gus memudahkan mahasiswa memahami bagaimana sikap positif, daya tahan dan integriti memberi kesan kepada prestasi serta reputasi kerjaya mereka.


Program Kerjaya Talk: Persediaan ke Alam Kerjaya telah berjaya mencapai objektif penganjurannya apabila mahasiswa memperoleh gambaran yang lebih jelas tentang realiti dunia pekerjaan serta langkah persediaan yang perlu diambil seawal di bangku universiti. Perkongsian pengalaman, nilai INSPIRE dan tip lain daripada Cikgu Yusuff Ahmad@ Harun bukan sahaja meningkatkan kesedaran kerjaya dalam kalangan peserta, malah menyuntik motivasi untuk mereka memperkasa kemahiran insaniah dan akademik secara berterusan.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang sebagai platform strategik dalam melahirkan graduan UPSI yang berwibawa, berintegriti dan bersedia menyumbang kepada pembangunan negara.
