oleh : Nur Syafiqah Mohd Syamsuri, Nurul Syazwanie Rozaimi

TANJONG MALIM, 8 Januari 2026 – Hasil kerjasama Exco Blok Kediaman 1, 2, 3 dan juga 4, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan empat program yang berbeza yang dijalankan secara serentak.

Program-program ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada semua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program Imut Craft: Sentuhan Kreatif, Cetusan Idea anjuran Exco Blok Kediaman 1, Kolej Harun Aminurrashid telah berlangsung dengan meriah sebagai inisiatif memperkasa kreativiti, inovasi dan kemahiran insaniah dalam kalangan penghuni blok kediaman perempuan melalui aktiviti seni kraf secara praktikal.

Peserta sedang membuat brick keychain
Peserta program Play With Clay menunjukkan hasil kraf mereka
Pelajar gembira membuat gelang tangan dan aksesori hiasan telefon

Program ini melibatkan seramai 100 orang peserta dari Blok Kediaman 1 hingga 4 dan menyediakan platform pembelajaran hands-on yang merangsang pemikiran kreatif, komunikasi serta kerjasama berpasukan, selaras dengan pembangunan graduan holistik.

Antara aktiviti utama ialah pengagihan DIY Fluid Bear Keychain, Bricks dan DIY Colouring Craft Handbag yang berjaya mengeratkan hubungan antara penghuni kolej.

Program yang berlangsung hampir dua jam ini berjalan dalam suasana kondusif dan interaktif dengan penglibatan serta komitmen peserta yang amat memberangsangkan.

Program Clay and Chill: “Play with Clay, Feel Okay” anjuran Exco Blok Kediaman 2, Kolej Harun Aminurrashid pula berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program ini dianjurkan adalah untuk membuka ruang santai kepada mahasiswa UPSI  sambil menunjukkan bakat kreativiti melalui aktiviti seni clay art.

Melalui aktiviti ini, peserta berpeluang untuk mengasah kemahiran seni halus dari segi padanan warna, mencipta bentuk dan ketelitian dalam karya.

Program ini juga menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan antara mahasiswa UPSI serta memupuk semangat kerjasama dalam suasana yang santai serta menyeronokkan.

Exco Blok Kediaman 3, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan program Relaks Sekejap: “Tenang Jiwa,Minda Ceria” .

Kebelakangan ini, tekanan akademik dan rutin harian yang padat sering menyebabkan keletihan mental serta emosi. Oleh itu, pelajar memerlukan satu pendekatan yang santai dan kreatif bagi mewujudkan keseimbangan emosi.

Objektif penganjuran program Relaks Sekejap dilaksanakan adalah untuk memberikan ruang kepada mahasiswi melibatkan diri dalam aktiviti santai yang dapat meringankan tekanan dan menenangkan fikiran.

Program ini juga dapat membantu peserta mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah. Antara pengisian utama program adalah para peserta melibatkan diri dalam aktiviti pembuatan gelang tangan daripada manik yang bukan sahaja mampu merangsang kreativiti, malah membantu peserta meningkatkan fokus serta menggalakkan interaksi sosial antara satu sama lain.

Program Beads of Love: “String Your Happiness” merupakan sebuah program santai berunsur kreatif yang dianjurkan oleh Exco Blok Kediaman 4, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Sidang 2025/2026 khusus kepada semua penghuni kolej.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh semangat komuniti, mengeratkan hubungan silaturahim serta menyediakan ruang ekspresi diri melalui aktiviti kreatif.

Pengisian utama program ini ialah aktiviti membuat kraftangan berasaskan manik (beads) untuk menghasilkan tali hiasan telefon (phone strap) yang merupakan salah satu aksesori telefon.

Ia dapat memberi peluang kepada peserta menghasilkan rekaan mengikut kreativiti masing-masing dalam suasana santai dan mesra, sekali gus memupuk nilai kasih sayang, kesabaran dan perpaduan dalam kalangan penghuni kolej.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah dalam ucapannya menekankan supaya semua pelajar dapat menyahut segala cabaran yang diberikan serta berharap tiada sebarang masalah dalam menyelesaikannya.

Beliau turut menekankan bahawa masa yang diluangkan sepanjang aktiviti berjalan adalah untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan rakan-rakan kolej yang lain.

Wakil Pengarah Program, Nisa Nazirah Mohd Helmi, menyatakan bahawa penyertaan para peserta bukan sahaja menjayakan program malah dapat memupuk perpaduan antara peserta dalam suasana yang santai.

Ucapan perasmian oleh Dr. Hj. Che Anuar, Pengetua KHAR
Ucapan aluan daripada Nisa Nazirah

Justeru itu, beliau berharap agar program ini menjadi salah satu platform untuk mengekspresikan kreativiti melalui aktiviti-aktiviti  kraf tangan sekali gus dapat melepaskan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan emosi masing-masing.

Program ini diharapkan dapat menjadi medium bagi mahasiswa UPSI mencungkil bakat, khususnya dalam bidang kesenian serta mendorong mereka agar lebih aktif melibatkan diri dalam pelbagai program yang dianjurkan.

Secara keseluruhannya, objektif program-program ini berjaya dicapai melalui usaha dan penglibatan semua ahli jawatankuasa serta para peserta, sekali gus mengeratkan ukhuwah dalam kalangan komuniti kolej.