Gambar Sewaktu PenutupanGambar Sewaktu Penutupan

Oleh: Khairul

TANJONG MALIM – Kepimpinan mahasiswa terus diperkasa apabila Exco Perpaduan dan Integrasi Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (MMKAHS) berjaya menganjurkan LUMINA KAHSPIRE: Leadership Odyssey pada 4 hingga 6 Disember 2025 sebagai kesinambungan program ASPIRE: Future Leaders.

Bertemakan “Cahaya Kepimpinan Nadi Mahasiswa”, program ini menghimpunkan barisan Rakan Exco MMKAHS dalam sebuah perjalanan transformasi kepimpinan yang menyeluruh merangkumi aspek fizikal, mental dan teknikal, selari dengan aspirasi KAHS melahirkan mahasiswa berjiwa besar dan berdaya saing.

Program tiga hari ini dimulakan dengan siri bengkel profesional melibatkan pengurusan kertas kerja, kewangan serta protokol dan pengurusan majlis, selain sesi penyelarasan visi bersama Ketua Felo dan Yang Dipertua MMKAHS.

Hari kedua pula memfokuskan pembinaan ukhuwah melalui sesi ta’aruf Lumina Fam dan Malam Galau berkonsepkan potluck barbeku yang santai namun bermakna, berjaya mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam kalangan peserta.

Hari kemuncak diserikan dengan aktiviti kecergasan, Synergy Session berpasukan dan Majlis Semarak Iltizam yang menyaksikan penyampaian watikah serta lafaz ikrar kepimpinan.

Majlis kemuncak turut diserikan dengan amanat Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana Ismail, yang menzahirkan keyakinan tinggi terhadap barisan kepimpinan baharu ini.

Beliau menegaskan bahawa program ini menjadi platform penting untuk mengasah kemahiran kepimpinan, memperkukuh kerjasama serta membentuk mahasiswa yang berakhlak mulia, berdisiplin dan seimbang, selari dengan aspirasi Naib Canselor UPSI.

LUMINA KAHSPIRE: Leadership Odyssey bukan sekadar program, malah menjadi titik mula lahirnya pemimpin mahasiswa KAHS yang berkaliber dan berwibawa.