Oleh: ANIS HAZWANI YAAKOB

Tanjong Malim, 14 Januari 2026 – Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Al-Mursyidin, Rakan Siswa Yadim, Komuniti UPSI dan Rakan Astronomi UPSI telah menganjurkan Ceramah Israk & Mikraj: Perspektif Kemukjizatan Al-Quran serta Pameran Astronomi Aktiviti Cerapan yang bertempat di Masjid Al-Mursyidin, UPSI.

Program ini dianjurkan sempena sambutan Israk dan Mikraj dengan tujuan memberi pendedahan kepada warga UPSI, khususnya para mahasiswa, mengenai peristiwa agung Israk dan Mikraj dari sudut keilmuan falak Islam dan kemukjizatan Al-Quran.

Ceramah utama telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Dr. Hj. Mohamad Fahmi bin Abdul Khir, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Perak merangkap Ahli Falak Negeri Perak, yang bertajuk “Perspektif Kemukjizatan Al-Quran”. Selain pengisian ceramah, program ini turut diserikan dengan Solat Hajat Perdana Mahasiswa, pameran dan aktiviti cerapan objek angkasa bersama kakitangan Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak, serta jualan cenderahati oleh Kelab Stargazers UPSI.

Turut hadir memeriahkan program ialah Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Ridhwan bin Che Ros, Menjalankan Fungsi Sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, YDH Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Haji Ahmad, Orang Besar Jajahan Muallim, En. Helmi Zaifura bin Abdul Rahman, Pendaftar UPSI, Prof. Dr. Mohd. Izwan bin Shahril, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI serta En. Muhammad Tarmizi bin Abdul Rahman, Pengarah Pusat Islam UPSI.

Kesemua aktiviti ini telah berlangsung dengan lancar dan mendapat sambutan serta respon yang amat positif daripada para mahasiswa dan warga UPSI. Diharapkan penganjuran program ini dapat menyemai penghayatan rohani, memperkukuh kefahaman dalam bidang falak Islam, serta melahirkan mahasiswa UPSI yang seimbang dari aspek akademik dan sahsiah.