Oleh: Mariah Mardhati Nordin

Tanjong Malim, 15 Januari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan melalui penganjuran Program Sharing Experience: Merentas Benua Jejak Inspirasi Antarabangsa anjuran Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK) dengan kerjasama Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Program yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang di Bilik Seminar Aminuddin Baki, Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) ini terbuka kepada semua mahasiswa dan mahasiswi UPSI bertujuan memberi pendedahan tentang realiti pembelajaran antarabangsa, perbezaan sistem pendidikan, budaya pembelajaran serta cabaran pembelajaran di luar negara.

Ucapan alu-aluan dan perasmian disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Seah Siok Peh, yang menekankan kepentingan pengalaman antarabangsa dalam membentuk jati diri, profesionalisme serta daya saing bakal pendidik. Beliau turut menyatakan bahawa program perkongsian seumpama ini bukan sekadar medan perkongsian pengalaman, malah berperanan sebagai pemangkin kepada kesedaran mahasiswa tentang kepentingan melengkapkan diri dengan pengalaman antarabangsa.

Pengarah Program, Mariah Mardhati Binti Nordin, berkata program ini menjadi platform perkongsian pengalaman sebenar mahasiswa UPSI yang pernah mengikuti program pembelajaran di luar negara bagi memberi inspirasi dan panduan kepada mahasiswa lain.

Sesi perkongsian panel melibatkan pengalaman pertukaran pelajar dari Slovakia, China, Jepun dan Thailand. Panel Slovakia, Mariah Mardhati binti Nordin dan Sri Roshini Patmanathan, berkongsia pengalaman mengikuti program pertukaran ke Trnava University selama tiga bulan di bawah tajaan penuh Kerajaan Eropah. Hilya Fadhlina binti Mohd Razali pula berkongsi kejayaan memenangi First Prize (International Friendship Award) dan Skills Competition for College Students di Guangxi College for Preschool Education Nanning, China.

Perkongsian pengalaman di Jepun disampaikan oleh Shawnie Tiambi Lim yang mengikuti program pertukaran pelajar selama dua minggu dari 10 hingga 25 Mei, manakala perkongsian di Thailand oleh Nur Fatin Dalila binti Azmi melibatkan program pertukaran pelajar selama lima hari dari 15 hingga 19 Oktober 2025.

Majlis diakhiri dengan ucapan penutup oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FPM, Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, yang berharap agar program ini dapat meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan pengalaman antarabangsa, membina keyakinan diri dan menyemai semangat untuk meneroka peluang pembelajaran global selaras dengan aspirasi pendidikan abad ke -21

Sebagai penghargaan, sesi penyampaian cenderahati turut diadakan kepada semua ahli panel jemputan. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif sebagai platform perkongsian akademik berimpak tinggi dan berperanan sebagai pemangkin dalam menyokong agenda pengantarabangsaan UPSI serta mengharumkan nama Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Fakulti Pembangunan Manusia di persada antarabangsa

By shira