Oleh : Dr. Mohamad Albaree Abdul

Tanjong Malim, 05 Januari 2026 – Seramai 92 pelajar Semester 5 program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) dari Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjalani pengalaman pembelajaran berasaskan industri di National Child Development Research Centre (NCDRC) menerusi pelaksanaan Industry Educator Experience Model – Early Childhood Education (IEEM-ECE).

Pelaksanaan kursus Perkembangan Kerohanian dan Moral Kanak-Kanak ini memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan teori nilai dan moral secara langsung dalam konteks sebenar melalui aktiviti bersama kanak-kanak. Sepanjang tempoh tujuh minggu, bermula 11 November 2025 hingga 2 Januari 2026, pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti pembelajaran yang dirancang untuk memupuk nilai positif dan kemahiran moral kanak-kanak.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk aktiviti berasaskan nilai seperti berkongsi, tolong-menolong dan menghargai rakan sekelas, drama pendek dan role-play bagi membantu kanak-kanak mengenal konsep kebaikan, kejujuran dan tanggungjawab, cerita interaktif yang membimbing kanak-kanak memahami nilai moral melalui pengalaman hidup yang mudah difahami, serta projek kreatif beretika melibatkan seni dan kraf yang menekankan konsep empati, kesabaran dan kerjasama.

Sepanjang tempoh pelaksanaan di NCDRC, pelajar turut membentangkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran yang dijalankan kepada penyelaras kursus, sebagai sebahagian daripada proses refleksi, penilaian dan penambahbaikan pembelajaran berasaskan industri.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Profesor Dr. Abdul Talib bin Mohamed Hashim, menyifatkan pelaksanaan Model IEEM-ECE sebagai satu pendekatan strategik fakulti dalam memperkukuh pembelajaran berimpak tinggi.

Model IEEM-ECE memberi pengalaman sebenar kepada pelajar untuk memahami bagaimana nilai dan moral dapat dipupuk dalam diri kanak-kanak, sekali gus membentuk graduan yang bersedia menghadapi realiti profesion pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Seah Siok Peh, turut menegaskan kepentingan pendedahan lapangan dalam membentuk kefahaman menyeluruh terhadap aspek kerohanian dan moral kanak-kanak.

Melalui penglibatan secara langsung di NCDRC, pelajar dapat melihat bagaimana perkembangan kerohanian dan moral kanak-kanak diterjemahkan dalam amalan sebenar. Ini penting untuk melahirkan pendidik awal kanak-kanak yang beretika dan berkeperibadian tinggi,” ujarnya.

Menurut Dr. Mohamad Albaree bin Abdul, selaku Penyelaras Kursus, pelaksanaan kursus ini memberi ruang kepada pelajar untuk membuat refleksi berterusan, mengaitkan pengalaman praktikal dengan teori perkembangan kerohanian dan moral, serta meningkatkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kreativiti.

Pelaksanaan Model IEEM-ECE ini melibatkan tiga kumpulan pelajar, iaitu Kumpulan A seramai 37 orang, Kumpulan B seramai 33 orang dan Kumpulan C seramai 22 orang, yang mengikuti aktiviti pembelajaran secara berperingkat mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Secara keseluruhan, pelaksanaan Model IEEM-ECE ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dan Fakulti Pembangunan Manusia dalam melahirkan graduan pendidikan awal kanak-kanak yang berpengetahuan, beretika dan bersedia menghadapi keperluan profesion melalui pengalaman pembelajaran berasaskan industri yang menekankan pembangunan nilai dan moral kanak-kanak.