Oleh : Dr. Mohamad Albaree Bin Abdul
Shah Alam, 13 Disember 2025 – Seramai 10 orang pelajar ISMP PAKK bagi kursus KAL3053 Perkembangan Kerohanian dan Moral Kanak-Kanak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Program The Becoming Series: “Fiqh Perkahwinan” yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pustaka Tun Uda, Shah Alam.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek pembangunan kerohanian dan moral dalam kehidupan sebenar, khususnya dalam konteks kekeluargaan dan institusi perkahwinan. Pengisian program menekankan kefahaman nilai, tanggungjawab serta peranan individu dalam membentuk keluarga yang sejahtera berlandaskan prinsip Islam.



Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Seah Siok Peh, menyatakan bahawa program seperti ini penting dalam membentuk bakal pendidik yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan nilai moral. Menurut beliau, kefahaman terhadap isu kerohanian dan moral perlu diterjemahkan secara kontekstual agar pelajar mampu mengaitkan teori dengan realiti kehidupan.


Menurut Dr. Mohamad Albaree bin Abdul, selaku penyelaras kursus KAL3053, program ini dirangka bagi membantu pelajar memahami peranan pendidikan kerohanian dan moral dalam pembentukan keluarga serta kesannya terhadap perkembangan kanak-kanak. Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah memberi impak yang lebih mendalam terhadap pemahaman pelajar.
Selepas program, pelajar yang terlibat telah mengadakan sesi perkongsian pengalaman bersama rakan-rakan pelajar kursus KAL3053, bagi berkongsi pengetahuan, refleksi dan input yang diperoleh sepanjang program. Sesi ini membantu memperluas manfaat pembelajaran dan menggalakkan perbincangan kritikal berkaitan nilai moral serta aplikasi dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak.


Program The Becoming Series ini berjaya memperkukuh kefahaman pelajar terhadap fiqh perkahwinan serta peranan nilai kerohanian dan moral dalam kehidupan, sejajar dengan matlamat melahirkan pendidik awal kanak-kanak yang berpengetahuan, beretika dan berintegriti.
