Tanjong Malim, 18 Januari 2026 – Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program Banglo Seni Master Class, sebuah bengkel muzik berimpak tinggi yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, dengan penyertaan seramai 500 orang pelajar dan komuniti setempat.

Penganjuran program ini bertujuan untuk menyediakan platform pembelajaran berstruktur dalam bidang seni muzik, khususnya dalam memperkukuh pemahaman peserta terhadap realiti, cabaran serta peluang dalam industri muzik profesional. Melalui pendekatan perkongsian ilmu dan pengalaman secara langsung bersama tokoh industri, program ini diharap dapat menyumbang kepada pembangunan kompetensi teknikal, apresiasi muzik serta kemenjadian pelajar secara holistik.

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat ringkas, diikuti sesi perkongsian perjalanan seni oleh Ahli Kumpulan The Gong yang menekankan aspek pengalaman profesional, disiplin kerja dan pembinaan identiti seni dalam industri muzik. Pengisian ini disusuli dengan sesi jamming interaktif, yang berfungsi sebagai medium aplikasi praktikal bagi menggalakkan ekspresi kreatif, kerjasama muzik dan peningkatan keyakinan diri dalam persembahan.

Salah satu pengisian utama program ialah Sesi Bengkel Bedah Lagu oleh Dato’ Dr. Mohamad Nasir bin Mohamed (Dato’ M. Nasir), tokoh seni negara yang berpengalaman luas sebagai pencipta lagu, penyanyi, penerbit dan pengarah. Sesi ini memberi pendedahan mendalam kepada peserta mengenai proses penciptaan karya muzik, analisis struktur lagu, interpretasi estetik serta hubungan antara ekspresi seni dan keperluan industri muzik kontemporari. Pendekatan analitikal yang diketengahkan membantu peserta memahami muzik bukan sahaja sebagai bentuk seni, tetapi juga sebagai bidang profesional yang memerlukan pengetahuan teknikal dan pemikiran kritis.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI, Puan Siti Salwa binti Jamaldin, serta tokoh industri muzik Encik Anuar bin Borhan (Ahli Muzik B5). Kehadiran barisan jemputan ini memperkukuh matlamat program sebagai wahana jaringan strategik antara institusi akademik dan industri kreatif, selaras dengan agenda pemerkasaan bakat seni di peringkat universiti.

Secara keseluruhannya, Program Banglo Seni Master Class berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan menyediakan ruang pembelajaran bermakna, memperkasa kemahiran muzik peserta serta menyokong usaha peningkatan kebolehpasaran graduan dalam bidang muzik. Program seumpama ini wajar diteruskan sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam menyokong pembangunan modal insan kreatif serta pemerkasaan seni dan budaya di peringkat institusi pengajian tinggi.