Tanjong Malim, 17 Januari 2025 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Strategik Persatuan Pelajar FKMT 2026 pada 17 Januari 2025 bertempat di Makmal BYOD, Bangunan Teknologi Maklumat. Bengkel sehari ini menghimpunkan barisan pimpinan mahasiswa serta penasihat persatuan dalam usaha merangka pelan strategik dan takwim kegiatan pelajar fakulti bagi tahun 2026.

Bengkel ini melibatkan penyertaan penasihat-penasihat persatuan, barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) META, serta lima wakil tertinggi daripada setiap persatuan pelajar FKMT yang terdiri daripada:
- Persatuan Teknologi Maklumat (PTM)
- Persatuan Multimedia Kreatif (PMK)
- Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP)
- Persatuan Permainan Digital (PPD)
- Persatuan Sains Komputer (PSK)
Tujuan utama bengkel adalah bagi menyelaras serta merangka Takwim Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FKMT dan aktiviti persatuan pelajar bagi tahun 2026 secara strategik, tersusun dan menyeluruh.
Program dimulakan dengan sesi pembukaan dan ucapan amanat oleh Timbalan Dekan HEPA FKMT, Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, yang menekankan kepentingan kesatuan dalam perancangan dan kepimpinan pelajar. Beliau turut menggesa para pemimpin persatuan untuk sentiasa berinovasi dalam penganjuran program yang menyokong pembangunan sahsiah dan kepakaran teknikal mahasiswa.
Slot kedua diteruskan dengan perkongsian dan sesi pemantapan bersama Timbalan Pendaftar FKMT, En. Nurul Anuar bin Jamasan @ Kasban, yang menekankan keperluan penyelarasan aktiviti selaras dengan hala tuju fakulti dan dasar universiti.
Seterusnya, bengkel diteruskan dengan sesi perbincangan gerak kerja dan cadangan program setiap persatuan, disusuli dengan sesi petang yang memfokuskan kepada penetapan tarikh dan penyusunan Takwim Aktiviti HEPA dan Persatuan Pelajar FKMT 2026.
Menurut Muhammad Harith Danial Bin Mohd Faisal, YDP Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP), bengkel ini memberikan perspektif baharu dalam menyusun program yang lebih tersusun dan berimpak tinggi:
“Bengkel ini membuka ruang kepada kami untuk melihat perancangan secara menyeluruh, bukan hanya fokus kepada persatuan masing-masing tetapi sebagai satu fakulti yang bergerak seiring. Saya berharap semua cadangan yang dibincangkan dapat direalisasikan dan memberi manfaat kepada seluruh warga FKMT,” katanya.

Bengkel diakhiri dengan sesi resolusi dan penutup yang merumuskan komitmen semua pihak untuk melaksanakan agenda persatuan secara bersama, bersinergi dan berpaksikan kepada pembangunan pelajar yang holistik.
Usaha ini mencerminkan iltizam FKMT dalam menyokong kepimpinan mahasiswa yang progresif, berstruktur dan selaras dengan Pelan Strategik Universiti dan Aspirasi Malaysia MADANI.
