UPSI, Tanjong Malim, 14 Januari 2026 – Seramai enam orang pelajar daripada Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah terpilih menerima sumbangan komputer riba bernilai RM3,000 setiap satu menerusi inisiatif Skim Bantuan Laptop WEZAS, sebuah program kebajikan yang direalisasikan oleh Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI bertujuan membantu pelajar asnaf dan B40 menjalani pengajian dengan lebih selesa dan berkesan.

Watak utama dalam menjayakan usaha ini ialah Encik Nurul Anuar bin Jamasan @ Kasban, Timbalan Pendaftar FKMT, yang memainkan peranan penting dalam menyelaras proses pencalonan dan pengesahan penerima berdasarkan kriteria kelayakan yang ditetapkan. Beliau juga berperanan sebagai penghubung utama antara pihak fakulti dan pengurusan zakat UPSI.

Majlis penyerahan telah berlangsung di Bangunan Oktagon, FKMT dan disempurnakan oleh wakil Pengurusan iaitu Ts. Dr. Nazre bin Abdul Rashid, TDHEPA FKMT yang menzahirkan penghargaan atas inisiatif murni ini serta peranan aktif En. Nurul Anuar dalam menjaga kebajikan pelajar fakulti.

Dalam majlis ringkas tersebut, Ts. Dr. Nazre turut menitipkan nasihat dan amanat kepada para penerima agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang diberikan, menjaga amanah dengan sebaiknya, dan terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.

“Komputer riba ini adalah satu amanah dan tanggungjawab. Kami berharap para pelajar bukan sahaja menggunakannya untuk memenuhi keperluan akademik, tetapi juga menjadikannya sebagai alat untuk meningkatkan daya saing dalam dunia teknologi yang sentiasa berkembang. Jadilah pelajar yang bersyukur, berdedikasi, dan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan,” ujar beliau penuh inspirasi.

Sementara itu, En. Nurul Anuar, Timbalan Pendaftar FKMT yang juga individu utama dalam menyelaras inisiatif ini, menyampaikan pesanan penuh makna kepada penerima:

Ini bukan sekadar bantuan teknikal, tetapi satu bentuk kepercayaan. Saya ingin lihat pelajar-pelajar ini bukan sahaja berjaya dalam akademik, tetapi juga membina nilai diri yang tinggi, beretika dan sentiasa mengutamakan integriti. Manfaatkan sepenuhnya komputer riba ini untuk pengajian, projek inovasi, dan perkembangan kendiri. Semoga suatu hari nanti, anda pula yang akan membantu orang lain,” kata beliau dengan penuh harapan.

Pelajar-pelajar yang menerima sumbangan terdiri daripada:

1. Nur Farahhasyikin binti Mohd Zaham (AC10)

2. Eric Emanuel bin Febry (AT20)

3. Mohammad Hafiz bin Abdul Untong (AT46)

4. Muhammad Irfan Sharmizi bin Mohd Baharom (AT46)

5. Muhammad Andrey Hakimi bin Mohd Izwan (AC10)

6. Siti Nur Rashiqin binti Azizan (AC10)

Komputer riba bernilai RM3,000 setiap satu ini dijangka dapat membantu pelajar dalam mengikuti kuliah, menyiapkan tugasan berasaskan perisian teknikal serta mengakses sumber pembelajaran atas talian dengan lebih lancar dan efisien.

Salah seorang penerima, Eric Emanuel bin Febry, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan yang diterima, menyatakan bahawa ia merupakan dorongan besar untuk terus cemerlang dalam pengajian.

Skim Bantuan Laptop WEZAS UPSI terus membuktikan komitmen UPSI dalam menyokong kebajikan mahasiswanya, terutama golongan memerlukan, sejajar dengan aspirasi universiti untuk membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga holistik dan berintegriti.