Oleh: Nur Ikhwan Abdul Kassim

Pusat Studio Kreatif UMT, 15 Januari 2026 – Telah berlangsung rakaman Podcast Jiwa Siswa, Jiwa Merdeka secara santai tetapi berilmiah dengan tajuk perbincangan “Dapur Siswa Madani: Impaknya Terhadap Mahasiswa.”

Podcast ini dikendalikan oleh dua orang moderator dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), iaitu Muhammad Nur Ikhwan bin Abdul Kassim dari Kolej Za’ba dan Nuramiraasha binti Rashdan dari Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Kedua-dua moderator juga merupakan mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI.

Sesi perbincangan turut disertai oleh panelis jemputan, iaitu Encik Hirman Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa (YPS), serta Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) UPSI.

Podcast ini dibawakan khas oleh Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

Projek Khas Podcast Jiwa Siswa merupakan sebuah program podcast bersiri yang dilaksanakan secara santai dan berilmiah, bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa untuk berdialog secara terbuka bersama alumni debat, tokoh muda serta aktivis pelajar. Program ini bermatlamat untuk membudayakan pengucapan awam yang matang, di samping memberi latihan tidak langsung dalam menyampaikan hujah secara berkesan.

Projek Khas Podcast Jiwa Siswa dijadualkan untuk dilaksanakan oleh semua anggota MADUM dan akan berlangsung di universiti-universiti terpilih.

Rakaman podcast yang berlangsung selama 45 minit ini mengupas tentang dana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bagi pelaksanaan Projek “Dapur Siswa Madani” dalam Belanjawan Negara pada Oktober 2025.

Inisiatif ini selari dengan usaha mencari solusi terhadap isu kebajikan mahasiswa di universiti, khususnya dalam menangani masalah kekangan kewangan sehingga ada dalam kalangan mahasiswa yang terpaksa mengikat perut akibat ketiadaan wang untuk membeli makanan.

Encik Hirman berkata, “Pada peringkat awal, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM26 juta bagi pelaksanaan Dapur Siswa Madani. Peruntukan tersebut kemudiannya ditambah sebanyak RM15 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM41 juta bagi merealisasikan Dapur Siswa Madani di semua Universiti Awam.”

Sementara itu, Profesor Dr. Norkhalid menjelaskan, “UPSI telah melaksanakan beberapa inisiatif awal dengan menyediakan dapur khas serta bahan-bahan asas bagi membolehkan pelajar memasak sendiri. Antaranya termasuk Dapur Kasih KAB, Dapur Kasih Bitara di Masjid Al-Mursyidin, serta sumbangan bahan mentah daripada tanaman di Pusat Pendidikan Hijau (PPH) Kolej Za’ba. Inisiatif Dapur Siswa ini juga secara langsung mewujudkan kerjasama dan silaturahim antara pelajar daripada pelbagai latar belakang ketika menyediakan makanan untuk rakan-rakan di kampus”, ujar beliau.

Moderator, Muhammad Nur Ikhwan, merumuskan perbincangan podcast ini dengan menyatakan, “Dapur Siswa Madani mencerminkan nilai ihsan kerajaan terhadap mahasiswa selaras dengan Teras Keenam Malaysia MADANI. Selain itu, inisiatif ini turut memenuhi tuntutan Sustainable Development Goals (SDG), iaitu No Poverty, Zero Hunger, Good Health dan Quality Education, sekali gus membuktikan usaha Malaysia ke arah negara mampan menjelang tahun 2030.”

Nuramiraasha pula menambah, “Dapur Siswa Madani bukan sahaja membantu mahasiswa yang berdepan kelaparan, malah mampu memupuk semangat kebersamaan, saling membantu dan kasih sayang dalam kalangan warga kampus.”

Diharapkan agar pelaksanaan Podcast Jiwa Siswa ini terus berperanan sebagai platform untuk mengasah kemahiran komunikasi dan pengucapan awam berteraskan intelektualisme. Podcast ini berakar sendiri daripada seruan YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menegaskan bahawa “kepimpinan mahasiswa perlu memiliki kemahiran komunikasi yang mantap,” dan daripada situ, wujudlah Podcast Jiwa Siswa.