Oleh: Dr. Farah Fazlinda Mohamad
Morib, Sepang, 23 Januari 2026 – Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Modul Komunikasi Keluarga Interaktif (MKKI) selama dua hari pada 22 dan 23 Januari 2026 di Morib, Sepang. Program ini melibatkan penyertaan seramai 50 orang ibu tunggal daripada Pertubuhan Ibu Bestari Selangor.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan di bawah Geran Dana Kajian Sosial, satu inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan menyokong penyelidikan berimpak tinggi kepada masyarakat serta memperkasa komuniti dalam menangani isu-isu sosial.
Program ini diketuai oleh Dr. Farah Fazlinda Binti Mohamad dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI bersama pasukan penyelidik yang terdiri daripada Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin, Dr. Khairul Azam Bahari, Dr. Muliyati Mat Alim, Dr. Sara Shakilla Mohd Salim dan Dr. Mohd Nazri Abd Raji. Mereka menekankan pelbagai aspek penting dalam komunikasi keluarga, termasuk Teknologi dan Kesihatan Mental, Etika dan Undang-Undang Media Sosial, Literasi Digital serta Komunikasi antara Ibu dan Anak.

Majlis perasmian bengkel telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Abdullah Sani bin Abdul Hamid, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, bersama Datin Hajah Faizah Ariffin dan Datuk Seri Mohamed Fairuz Bin Zainuddin, Pengasas Idola Holdings (M) Sdn Bhd. Turut hadir ialah wakil-wakil rakan kolaborasi daripada Pertubuhan Ibu Bestari Selangor dan Jabatan Pembangunan Wanita Selangor.
Melalui bengkel ini, para peserta berpeluang mempelajari asas komunikasi yang berkesan dalam institusi keluarga serta berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian sebagai ibu tunggal.

