Kuala Kubu Bharu, 17 Januari 2026 – Semangat kesukarelawanan dan cakna komuniti terus disuburkan melalui penglibatan aktif mahasiswa Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Seramai 25 orang sukarelawan terdiri daripada pelajar FKMT UPSI dan staf telah berganding bahu bersama pengurusan tertinggi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam menjayakan program gotong-royong perdana di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak serta Klinik Pergigian, Kuala Kubu Bharu.

Program ini merupakan sebahagian daripada penganjuran serentak Hari Komuniti MyPLUS edisi ke-9 yang berlangsung di 25 lokasi terpilih di seluruh negara, dengan acara utama dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di SMK (P) Bukit Kuda, Klang. Secara keseluruhan, program tanggungjawab sosial korporat (CSR)  berskala nasional ini telah melibatkan lebih 1,250 sukarelawan dan memberi manfaat kepada lebih 138,000 ahli komuniti di seluruh negara.

Kehadiran warga FKMT UPSI diketuai oleh YBrs. Dr. Ahmad Uzair Bin Mazlan selaku Pensyarah Pengiring yang menyifatkan kolaborasi bersama syarikat korporat seperti PLUS sebagai platform terbaik untuk mendedahkan mahasiswa kepada realiti khidmat masyarakat berimpak tinggi.

Di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kuala Kubu Bharu, program gotong-royong ini dilaksanakan dengan kerjasama warga klinik yang diketuai oleh Dr. Suhaida Mohd Sidek, Pegawai Kesihatan Daerah, selaku tuan rumah program.

Program ini turut disertai oleh barisan kepimpinan dan pegawai kanan PLUS Malaysia Berhad, antaranya Anwar Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif TERAS Teknologi Sdn. Bhd.; Dr. Johari Jalaluddin, Ketua Keselamatan Siber; Suhaimi Samat, Pengurus Wilayah Lebuhraya Pantai Timur 2; serta Datin Haslina, Ketua Tanah dan Pengurusan Konsesi PLUS Malaysia.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan sepanjang program ialah kerja-kerja pembersihan kawasan klinik termasuk pengumpulan dan pelupusan sampah, pembersihan semak-samun serta pemotongan pokok yang menghalang laluan dan pandangan. Selain itu, aktiviti mengecat dinding, pagar dan pondok pengawal keselamatan turut dijalankan bagi menceriakan persekitaran klinik.

Program turut diserikan dengan aktiviti landskap dan penghijauan melalui penanaman bunga dan pokok hiasan, di samping pembinaan sebuah pondok menunggu bagi meningkatkan keselesaan pengunjung klinik, khususnya ibu bapa dan kanak-kanak.

Bagi pihak pelajar, program ini memberi pengalaman baharu yang cukup bernilai. Wakil pelajar, Abdul Halim bin Hassan (Mahasasiwa Semester 5, ISMP Multimedia, FKMT) turut berkongsi keterujaannya menyertai misi sukarelawan ini.” Program ini membuka mata kami bahawa di sebalik klinik yang bersih dan teratur, ada individu yang membersihkan dan menyelenggara kawasan ini tanpa disedari. Apabila kami sendiri yang memegang berus dan membersihkan semak hari ini, barulah kami benar-benar menghargai nilai menjaga harta benda awam” ujarnya..

Pensyarah pengiring, Dr. Ahmad Uzair menzahirkan rasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar UPSI. Menurutnya, kekuatan program seperti ini terletak pada pengalaman yang membentuk cara pelajar melihat masyarakat.

“Kawasan awam selalu dilihat sebagai sesuatu yang sudah ‘sedia ada’. Apabila pelajar sendiri terlibat dalam membersihkan, menyelenggara dan membinanya, mereka akan mula memahami bahawa kesejahteraan komuniti lahir daripada usaha yang konsisten, bersama dan sering tidak kelihatan. Inilah bentuk pendidikan yang sukar dicapai hanya melalui kuliah” ujar beliau.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam melaksanakan CSR yang inklusif dan mampan, serta peranan aktif universiti dalam melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan keprihatinan sosial. Usaha kolaboratif ini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara universiti, industri dan komuniti demi kesejahteraan bersama.