Oleh: Noraini Sapuan
TANJONG MALIM, 30 Januari 2026 – Unit Integriti dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memulakan lembaran tahun 2026 dengan penganjuran program Integrity Talk Siri 1/2026 bertajuk “Kita Satu Kapal, Kayuh Sama-Sama”. Program ini menampilkan Datuk Dr. Hj. Mazlan Hj. Ahmad, Penasihat kepada Kumpulan Fokus Penguatkuasaan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebagai panel jemputan bagi menyuntik semangat ketaqwaan, keinsafan, dan kecemerlangan dalam tadbir urus universiti.
Dalam ucapannya, Datuk Dr. Hj. Mazlan mengibaratkan UPSI sebagai sebuah kapal besar di bawah satu nakhoda. Beliau menekankan kelancaran pelayaran menuju destinasi bergantung kepada keserentakan hayunan dayung seluruh warga universiti. Sekiranya ada pendayung yang berlawanan arah atau bersikap sambil lewa, ia bukan sahaja melambatkan perjalanan malah berisiko menenggelamkan institusi, selaras peringatan sejarah kapal Titanic yang gah namun karam akhirnya.

Integriti Hati: Kerja Sebagai Ibadah
Teras pelayaran selamat adalah Jiwa Ketaqwaan. Datuk Dr. Hj. Mazlan menegaskan bahawa bekerja di UPSI bukan sekadar rutin mencari rezeki, tetapi satu amanah pendidikan yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Intipati utama memupuk integriti hati termasuk membetulkan niat (ikhlas) bagi setiap gerak kerja demi keberkatan, menanamkan konsep ihsan dengan menyedari Allah SWT sentiasa memerhati, serta melaksanakan tanggungjawab secara sistematik dan tepat (Itqan) mengikut prosedur yang betul.
Merawat Penyakit Hati dan Budaya Silo
Beliau mengingatkan agar warga UPSI menjauhi budaya kerja secara ‘silo’, berpuak-puak atau toksik yang boleh merosakkan ukhuwah. Semua kakitangan, sama ada akademik atau pentadbiran, digalakkan mengetepikan ego pangkat kerana setiap individu adalah hamba Tuhan. Semangat membantu antara satu sama lain dilihat sebagai sedekah dan jariah tenaga, bukannya bebanan.
Kepimpinan Berpaksikan ‘Human Governance’
Datuk Dr. Hj. Mazlan menekankan kepentingan Human Governance bermula dari dalam diri. Integriti yang dipateri di hati akan tercermin melalui tindakan luaran secara semula jadi. Warga UPSI diseru untuk berjemaah dalam kebenaran, menyokong hala tuju universiti, saling memperingati jika berlaku kesilapan, melihat ujian sebagai latihan daripada Allah, dan membina legasi dengan menjaga integriti demi kejayaan yang diiktiraf manusia serta diredhai Allah sehingga UPSI mampu mendunia.
Beliau menekankan bahawa pelayaran kapal UPSI memerlukan semua warga untuk “kayuh sama-sama” dengan hati yang bersih. Integriti bukan sekadar slogan, tetapi benteng yang memastikan rezeki yang dibawa pulang adalah berkat dan diredhai.

Satu Hati, Satu Tekad
Sebagai penutup, Datuk Dr. Hj. Mazlan menyeru seluruh warga UPSI membetulkan niat dan menyatukan hati dalam menyokong aspirasi universiti. Segala cabaran dan ‘badai’ yang melanda harus dilihat sebagai latihan untuk menjadikan warga lebih kental demi kejayaan lebih besar. Program Integrity Talk ini diharapkan bukan sekadar menjadi halwa telinga, tetapi inspirasi dan pemacu semangat bekerja dengan penuh amanah, membudayakan integriti dan semangat berjemaah agar keberkatan dicapai dan meninggalkan legasi murni untuk diri, keluarga, seluruh warga UPSI dan dunia.
