Oleh : Nur Aqilah Mohd Aidill 

Tanjong Malim, 9 Mac 2026 – Program Seminar The Integrity Pact: Honouring Trust,  Rejecting Corruption telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian dengan penyertaan  pelajar serta warga universiti yang menunjukkan komitmen terhadap usaha memupuk nilai  integriti dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran seminar ini bertujuan memberi  pendedahan dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan integriti, kepercayaan serta  penolakan terhadap amalan rasuah dalam kehidupan seharian dan persekitaran profesional. 

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program,Esfellyndra Ellana Joharin  yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan  penganjuran seminar tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa integriti  merupakan asas penting dalam membentuk individu yang beretika dan bertanggungjawab. 

Beliau turut berharap agar seminar ini dapat menjadi platform kepada para peserta untuk  memahami kepentingan memelihara amanah serta menolak sebarang bentuk salah laku  yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat. 

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) ,Profesor Madya Dr. Md Noor Saper yang menegaskan bahawa nilai  integriti perlu dipupuk sejak di peringkat mahasiswa agar dapat melahirkan generasi yang  berprinsip, beretika dan berdaya saing.

Beliau turut menekankan bahawa sikap amanah, jujur  dan bertanggungjawab perlu menjadi pegangan dalam setiap aspek kehidupan, khususnya  apabila para pelajar melangkah ke alam pekerjaan kelak. 

Seminar ini turut menampilkan seorang penceramah jemputan iaitu Pn. Nur Farihah Mohd  Fadrullah Sahimi selaku Penolong Pendaftar Kanan Unit Integriti , Universiti Pendidikan  Sultan Idris (UPSI) yang berkongsi pengetahuan serta pandangan berkaitan isu integriti dan  rasuah dalam masyarakat.

Melalui perkongsian yang disampaikan, peserta didedahkan  dengan kepentingan membina budaya integriti, memahami implikasi rasuah serta peranan  individu dalam menolak sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.

Perkongsian tersebut turut  memberi kesedaran kepada peserta tentang tanggungjawab bersama dalam memastikan  nilai kejujuran dan kepercayaan sentiasa dipelihara.

Secara keseluruhannya, penganjuran Seminar The Integrity Pact: Honouring Trust, Rejecting  Corruption diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta tentang  kepentingan integriti dalam kehidupan seharian.

Program ini juga diharapkan dapat menjadi  pemangkin kepada usaha melahirkan generasi mahasiswa yang berintegriti tinggi, beretika  serta komited dalam menolak sebarang bentuk rasuah demi kesejahteraan masyarakat dan  negara.