Oleh: Ahmad Shazwi Ahmad Shukri

TAMBAK PAYA, 13 Januari 2026 – Program Counselor on Wheels Siri 1 bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Tambak Paya dilaksanakan sebagai inisiatif khidmat komuniti anjuran Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memperkasa kesejahteraan mental dan pembangunan sahsiah pelajar.

Program yang berlangsung pada Selasa itu mencerminkan komitmen UPSI dalam memperluaskan pendidikan holistik berimpak tinggi, selaras untuk memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju pendidikan dan khidmat kepada masyarakat.

Antara objektif utama program adalah memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar berkaitan kemahiran kawalan emosi, pengurusan emosi, teknik pembelajaran berkesan serta pembinaan daya tahan diri. Pendedahan awal aspek tersebut penting bagi membantu pelajar memahami emosi diri dan mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam persekitaran sekolah serta kehidupan seharian.

Ahmad Shazwi sedang memberikan ceramah
Pelajar SK Tambak paya mendengar ceramah yang diberikan

Ceramah disampaikan oleh Ahmad Shazwi yang menekankan kepentingan kawalan emosi, pematuhan peraturan sekolah dan pembentukan tingkah laku positif dalam kehidupan seharian. Pelajar turut diberi panduan mengenai amalan yang wajar dan perlu dielakkan di sekolah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat serta harmoni.

Sepanjang pelaksanaan program, pelajar diperkenalkan dengan asas jenis emosi seperti gembira, sedih, marah dan takut, termasuk kesannya terhadap tingkah laku dan proses pembelajaran. Melalui pendekatan mudah dan interaktif, pelajar dibimbing mengenal pasti emosi serta mengawal reaksi secara positif, sekali gus mengelakkan tingkah laku negatif dan membentuk sikap lebih berdisiplin.

Program turut menekankan aspek teknik belajar dan pembinaan daya tahan diri. Pelajar diberi pemahaman bahawa cabaran dalam pembelajaran merupakan sebahagian daripada proses perkembangan, di samping didedahkan dengan kaedah pengurusan masa, penetapan matlamat dan usaha mengekalkan motivasi ketika berdepan tekanan akademik.

Pelaksanaan program merangkumi pameran kesihatan mental menggunakan bas pendidikan UPSI serta ceramah kesihatan mental. Pameran berasaskan bahan visual dan interaktif menarik minat pelajar serta memudahkan pemahaman terhadap maklumat yang disampaikan.

Secara keseluruhan, program mencapai objektif ditetapkan apabila pelajar memperoleh pengetahuan asas berkaitan emosi, kawalan diri dan disiplin positif. Inisiatif tersebut memberi impak langsung kepada pembangunan emosi dan pembelajaran pelajar, sekali gus memperkukuh peranan UPSI dalam khidmat komuniti dan agenda pendidikan berteraskan kesejahteraan insan.