Oleh: AHMAD DANISH IRFAN ZAINAL ABIDIN
BANDA ACEH, 16 Februari 2026 – Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Alumni menerusi inisiatif FPM Prihatin telah menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir Aceh yang juga merupakan alumni-alumni UPSI.
Sumbangan tersebut disampaikan bersempena lawatan delegasi UPSI ke Universitas Syiah Kuala (UKS) dalam usaha memperkukuh hubungan antarabangsa serta menyantuni komuniti yang terkesan akibat bencana alam.
Inisiatif FPM Prihatin ini dilaksanakan bagi menzahirkan keprihatinan warga fakulti terhadap kebajikan alumni dan masyarakat setempat yang terkesan.
Program ini bukan sekadar bertujuan menyampaikan bantuan keperluan asas, tetapi juga sebagai usaha memperkukuh hubungan ukhuwah antara UPSI dan rakan strategik antarabangsa.
Melalui pendekatan ini, FPM membuktikan bahawa hubungan akademik dan jaringan alumni terus dipelihara walaupun berbeza negara dan situasi.

Dalam syarahannya, Prof Dr Madya Abdul Halim Masnan berkata: “Apa yang membezakan manusia dengan AI adalah sifat manusiawi, kemanusiaan itu sendiri.”
Beliau mengaitkan bahawa sifat empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial itulah yang diterjemahkan melalui program FPM Prihatin.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan bukan sekadar berbentuk material, sebaliknya mencerminkan nilai insaniah yang menjadi teras pendidikan di FPM dan UPSI secara keseluruhannya.
Program ini diisi dengan sesi penyerahan sumbangan keperluan asas kepada alumni dan keluarga yang terjejas, di samping pertemuan ringkas bersama wakil universiti dan komuniti setempat.
Delegasi turut mengambil kesempatan mendengar sendiri perkongsian pengalaman mangsa banjir bagi memahami keadaan sebenar yang dihadapi.
Suasana yang berlangsung penuh dengan empati dan ukhuwah tanpa memandang perbezaan, menjadikan semangat moral yang diberikan itu lebih bermakna.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan FPM Prihatin di Aceh ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam mengangkat nilai kemanusiaan sebagai teras pendidikan.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa antara UPSI dan USK, malah menegaskan bahawa jaringan alumni UPSI sentiasa dipelihara dan disantuni walau dalam apa jua keadaan.
