Oleh: Nur Izzah Ilyana Mohd Kamal
INDONESIA, 16 FEBRUARI 2026- Delegasi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan lawatan rasmi ke Universitas Shah Kuala (USK), Banda Aceh, Indonesia bagi tujuan promosi institusi serta memperkukuh jaringan kolaborasi akademik antara kedua-dua universiti.
Lawatan ini menjadi platform penting dalam mempererat hubungan strategik serantau, khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kaunseling yang sentiasa berkembang dari masa ke semasa.
Selain itu, delegasi UPSI turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan program akademik dan mempromosikan peluang pelajar yang boleh diterokai bersama warga akademik serta mahasiswa Universitas Shah Kuala.
Seramai lapan orang mahasiswa, tiga orang pegawai dan seorang pensyarah daripada delegasi UPSI yang terlibat dalam lawatan ini.
Antara pengisian utama program ialah Seminar Internasional hasil kolaborasi antara UPSI bersama Himpunan Mahasiswa Bimbingan dan Konseling (HIMABK) serta Himpunan Mahasiswa Pendidikan Anak Usia Dini (HIMA PAUD) Universitas Shah Kuala.
Seminar bertajuk “Menguatkan Fitrah Anak Usia Dini Melalui Konseling di Tengah Krisis Keteladanan” ini menekankan kepentingan membina sahsiah dan fitrah kanak-kanak sejak usia awal melalui pendekatan kaunseling yang holistik.
Perbincangan ilmiah yang berlangsung mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa dan pensyarah kedua-dua institusi. Para pembentang berkongsi perspektif mengenai cabaran krisis keteladanan dalam masyarakat masa kini serta peranan pendidik dan kaunselor dalam membentuk generasi berakhlak dan berdaya tahan.
Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan menyatakan tentang pentingnya menjadikan AI sebagai pembantu. Beliau berkata “Robot tidak memiliki sifat manusiawi, insaniah yang ada pada manusia”.
Satu sesi perkongsian temu ramah yang dikongsi oleh alumni di bawah tajuk ‘Sekapur Sirih dan Temu Ramah Alumni UPSI’ turut diadakan bagi menelusuri pengalaman graduan yang pernah menimba ilmu dan menyambung pengajian serta terlibat dalam program di Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Isi kandungan pengalaman merentas budaya ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan kompetensi profesional berkeyakinan diri dalam bidang pendidikan.


Di samping itu, kerjasama antara kajian akademik dengan pusat institusi dalam sesi ini jelas memperlihatkan impak positif dan berkesan bagi melahirkan para graduan yang mampu berdaya saing tinggi hingga ke peringkat antarabangsa.
Tambahan pula, program diteruskan dengan sesi perkongsian pengalaman wakil daripada mahasiswa UPSI di mana berkongsi pengalaman pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta peluang pembangunan sahsiah yang ditawarkan di UPSI.
Sesi ini membuka ruang dialog dua hala, membolehkan mahasiswa UIN Ar-Raniry memahami dengan lebih mendalam suasana akademik dan kehidupan kampus di Malaysia. Perkongsian ini turut memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk meneroka peluang mobiliti antarabangsa dan memperluas jaringan akademik merentas negara.
Penyampaian sumbangan daripada pihak delegasi UPSI kepada pihak USK diserahkan sebagai tanda ukhuwah dan komitmen terhadap hubungan berterusan. Penyerahan sumbangan ini melambangkan semangat dan sokongan terhadap usaha memperkasakan pendidikan serta pembangunan mahasiswa.
Secara keseluruhannya, lawatan delegasi UPSI ke UIN Ar-Raniry bukan sahaja berjaya mempromosikan institusi di peringkat antarabangsa, malah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kaunseling. Diharapkan kolaborasi ini akan terus berkembang melalui program akademik, penyelidikan dan mobiliti mahasiswa pada masa hadapan.

