Oleh: Nurhafiza Ahmad
KSAS, 20 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencatat sejarah apabila Persatuan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) menganjurkan program Wall of Integrity: Build Trust GenZ di Kafe Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dan Kafe Kolej Ungku Omar (KUO) Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).
Program selama dua hari ini berjaya menghimpunkan seramai 238 mahasiswa yang tampil sebagai duta integriti, menyemarakkan budaya antirasuah di kampus melalui pendekatan kreatif dan interaktif.
Program ini juga menghimpunkan suara mahasiswa sebagai duta integriti untuk menyemarakkan budaya antirasuah secara kreatif, dekat dengan hati anak muda dan berfokus pada tindakan nyata di kampus.



Program ini dianjurkan oleh Majlis Tertinggi AMAR UPSI Sidang 2025/2026 dengan kerjasama Unit Integriti (UI) UPSI. Program ini bukan sekadar sebuah acara, tetapi kempen gerakan nilai yang menyatukan mahasiswa dalam usaha membina benteng kukuh menentang rasuah.
Menurut pengarah program, Nurhafiza Ahmad, Wall of Integrity menjadi simbol komitmen mahasiswa untuk menjadikan integriti sebagai gaya hidup.
“Kita mahu setiap peserta berani berkata tidak kepada rasuah, pelbagai aktiviti dijalankan bagi menarik minat mahasiswa dan memberi ruang mereka menzahirkan komitmen terhadap integriti menjadikan kejujuran sebagai asas kehidupan bermaruah.”


Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Puan Noraini Binti Sapuan selaku Penasihat AMAR UPSI, serta pengesahan daripada Ketua Unit Integriti UPSI, Puan Etty Widayu Binti Samsungei.
Bahagian Unit Badan Pelajar JHEPA juga memperakui pelaksanaan program ini sebagai usaha strategik membina budaya integriti di kampus.


Program Wall of Integrity: Build Trust GenZ bukan sekadar sebuah program, tetapi gerakan nilai yang menyatukan mahasiswa UPSI dalam usaha membina masa depan yang bersih dan bermaruah.
AMAR UPSI berharap agar program ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk menjunjung amanah, memperteguh integriti dan menolak rasuah dalam apa jua bentuk.
Dengan semangat GenZ yang berani dan lantang, Wall of Integrity di UPSI membuktikan bahawa integriti bukan slogan kosong, tetapi gaya hidup yang mesti dipertahankan demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

