Oleh : Profesor Madya Dr. Arasinah Kamis

Dalam usaha memperkasa komuniti secara inklusif dan berimpak tinggi, satu program pembangunan kemahiran teknikal bidang kosmetologi telah dilaksanakan selama tiga bulan yang melibatkan Persatuan Ibu-Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dan Belia (MBFM) Felda Gunung Besout 03, Perak.

Program bertemakan “Therapy Treats” ini dianjurkan oleh Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Program Ijazah Sarjana Muda Sains Rumah Tangga.

Program ini memberi fokus kepada pemindahan ilmu dan kemahiran dalam rawatan muka, manicure, pedicure, penjagaan rambut dan waxing. Peserta bukan sahaja didedahkan kepada teori, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman rawatan seperti di spa profesional. Latihan ini menekankan penggunaan peralatan yang betul, prosedur rawatan yang selamat serta aspek kesihatan dan kebersihan diri.

Pelaksanaan program dibahagikan kepada tiga fasa utama. Fasa pertama dan kedua memberi penekanan kepada latihan kemahiran teknikal penjagaan muka, manakala fasa ketiga memfokuskan kepada keusahawanan Mobile Spa.

Peserta dilatih merancang strategi promosi, mengurus operasi perniagaan kecil serta menggunakan media sosial sebagai platform pemasaran. Pemantauan berkala selama dua bulan turut dijalankan bagi memastikan keberkesanan pemindahan ilmu serta memberi sokongan susulan kepada peserta.

“Saya tak sangka saya boleh buat rawatan muka sendiri dengan teknik yang betul. Dulu hanya tahu pakai produk, sekarang saya faham prosedur dan kebersihan yang sebenar.”

Demikian perkongsian salah seorang peserta ibu tunggal yang menyertai program. Bagi golongan belia pula, program ini membuka perspektif baharu.

“Kami belajar bukan sahaja kemahiran rawatan, tetapi juga cara menjana pendapatan melalui konsep Mobile Spa,” ujar seorang peserta MBFM.

Lebih istimewa, program ini turut menjadi platform pembelajaran autentik kepada pelajar UPSI. Mereka mengaplikasikan teori yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi sebenar bersama komuniti.

Pengalaman ini meningkatkan keyakinan, profesionalisme serta kemahiran komunikasi pelajar, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi antara universiti dan masyarakat.

Dari sudut impak, program ini memberi tiga manfaat utama: peningkatan kesedaran sosial tentang kepentingan penjagaan diri, peluang ekonomi melalui keusahawanan Mobile Spa, serta pembangunan akademik dan profesional pelajar.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini membuktikan bahawa pemindahan ilmu yang tersusun mampu membina komuniti berkemahiran, berdaya saing dan berdikari.