Oleh Ahmad Firdauz Dzulfeqar Ibrahim
Kuala Selangor, Selangor – “Guru bukan sekadar mengajar, tetapi memikul amanah yang besar.” Itulah realiti yang saya pelajari sepanjang menjalani latihan mengajar di Kolej Vokasional Kuala Selangor.
Sepanjang tempoh 4 bulan, saya dibimbing oleh Puan Norazrin binti Mohd Shahar pensyarah program Seni Kulinari dan beliau juga merupakan Ketua Guru Cemerlang kolej berkenaan.
Bimbingan beliau bukan sahaja tertumpu kepada aspek pengajaran, malah merangkumi disiplin kerja, pengurusan dokumentasi dan profesionalisme sebagai seorang pendidik.
Setiap nasihat dan teguran menjadi panduan penting dalam membentuk jati diri saya sebagai bakal guru TVET.



Selain mengendalikan pengajaran dan pembelajaran, saya turut diberi peluang terlibat secara aktif dalam pelbagai program di kolej vokasional seperti Pertandingan Inovasi Antara Program, Sambutan Maulidur Rasul 2025/1447H, Program Audit Dalam Jabatan Hospitaliti 2025, Jelajah Industri program Seni Kulinari ke Hakibs Food Industry Sdn. Bhd., Kejohanan Olahraga Kolej, serta Lawatan Rasmi Pembesar Asing Ke Malaysia Sempena Pengajuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Sepanjang tempoh itu juga saya diberikan kepercayaan untuk mengacara majlis Bengkel Outcome Based Education (OBE) Pentaksiran & Pembinaan Rubrik bagi Jabatan Hospitaliti serta menggalas tugas sebagai penyelaras dan penceramah bagi Bengkel OBE: Dari Idea ke Visual Design & Deliver Like A Pro! yang memberikan pendedahan tentang pembelajaran abad ke-21.



Kepercayaan ini banyak dipengaruhi oleh pengalaman saya sebagai mantan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang telah membentuk kemahiran kepimpinan dan pengurusan program sejak di peringkat universiti.
Pengalaman penyeliaan kali pertama oleh pensyarah penyelia Dr. Zahidah binti Ab Latif merupakan detik yang mendebarkan namun penuh makna. Penyeliaan rentas latihan mengajar oleh Prof. Madya Dr. Arasinah binti Kamis bersama Dr. Farah Najwa binti Ahmad Puad pula menjadi pengukur tahap kesediaan profesional saya sebagai bakal guru yang berpotensi memperoleh pencapaian cemerlang.



“Latihan mengajar ini benar-benar membuka mata saya bahawa tugas guru jauh lebih besar daripada apa yang digambarkan di universiti. Ia menuntut kekuatan mental, fizikal dan komitmen yang tinggi setiap hari,” itulah refleksi jujur yang dapat saya simpulkan sepanjang tempoh ini.



Secara keseluruhannya, latihan mengajar ini membuktikan bahawa guru perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sejak di universiti. Realitinya, tugas guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas, tetapi mengimbangi pelbagai tanggungjawab demi memastikan kemenjadian pelajar dan kelangsungan institusi.
