Oleh : Siti Nurhafizah Mohd Roseki
Tanjung Malim, 4 APRIL 2026 – Program Kem Latihan Bakal Kaunselor 2026 telah berlangsung pada 4 April 2026 (Sabtu) bertempat di DKP 16, bermula seawal jam 7:30 pagi hingga 6:30 petang.
Program ini dianjurkan oleh Exco Disiplin dan Tatatertib , Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) yang melibatkan pelajar ISMP Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kem ini merupakan satu inisiatif yang bertujuan melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang bimbingan dan kaunseling.
Bertemakan “Meneroka Jiwa, Menemui Hakikat”, program ini memberi penekanan kepada pembangunan diri, kemahiran komunikasi serta pembinaan empati dalam kalangan peserta.


Pengarah Program Kem Latihan Bakal Kaunselor: Meneroka Jiwa, Menemui Hakikat iaitu NurSafiah Syahirah binti Razali menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen yang diberikan.
Beliau menyatakan bahawa program ini bertujuan memberi pendedahan kepada kemahiran asas kaunseling di samping membina keyakinan diri dan kepekaan emosi peserta.
Beliau juga berharap agar ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan serta menjadi asas dalam melahirkan bakal kaunselor yang berintegriti dan berempati.
Program ini diteruskan lagi dengan ucapan daripada Yang Di-Pertua KASIH iaitu Nur Ardini Anuar. Dalam ucapannya, Yang Di-Pertua KASIH menekankan kepentingan program ini untuk membina kemahiran kaunseling, empati, dan kepimpinan.
Beliau menyeru peserta memanfaatkan peluang ini sepenuhnya dan mengumumkan bahawa program ini akan diteruskan pada masa akan datang.Yang Di-Pertua KASIH juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, sambil berharap semangat kerjasama dan kecemerlangan terus berkembang.
Sesi fotografi pertama telah diadakan sebagai kenangan sepanjang berlangsungnya Program Kem Latihan Bakal Kaunselor : Meneroka Jiwa, Menemui Hakikat. Sesi ini melibatkan barisan penganjur serta para peserta sebagai tanda penghargaan dan kenangan terhadap penglibatan mereka dalam menjayakan program tersebut.
Sesi kem yang dikendalikan oleh Fasilitator daripada batch Maverick 2026 bermula dengan sesi energiser untuk meningkatkan semangat dan tenaga peserta, diikuti dengan ice breaking bagi memupuk keselesaan dan keakraban antara peserta.



Seterusnya, peserta menyertai LDK 1 dan LDK 2, yang memfokuskan kepada kerjasama, komunikasi, dan pembangunan kemahiran interpersonal.
Aktiviti diteruskan dengan perkongsian bertajuk “Tujuan dan Hakikat: Kaunseling adalah Perjuangan”, yang memberi pemahaman mendalam mengenai peranan dan tanggungjawab seorang kaunselor.
Sesi diakhiri dengan Jalinan Mesra: Daripada Perspektif ke Nurani, menekankan kepentingan empati, kepekaan, dan penghayatan diri serta orang lain.
Keseluruhan sesi kem ini berjaya menggabungkan pembelajaran, refleksi, dan pengalaman praktikal secara interaktif, sekaligus memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara peserta.
Sesi fotografi kedua telah diadakan pada penghujung program sebagai tanda kenangan dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.
Sesi ini turut menjadi simbol penutup kepada Program Kem Latihan Bakal Kaunselor : Meneroka Jiwa, Menemui Hakikat yang telah berlangsung dengan lancar dan penuh pengisian bermanfaat.
