Tanjong Malim, 3 April 2026 – Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan program berimpak tinggi, CIRCLE International Forum 2026, yang bertemakan “Developmental Disabilities Across Contexts: Reframing Inclusion in Malaysia and Japan”.

Forum yang berlangsung pada 2 April di Fakulti Pembangunan Manusia ini merupakan satu inisiatif strategik untuk membincangkan anjakan paradigma dalam menyantuni individu dengan ketidakupayaan perkembangan merentasi dua konteks negara yang berbeza.

Fokus utama perbincangan merangkumi aspek pendidikan, peluang pekerjaan, serta kelestarian hidup berdikari bagi memastikan golongan ini mendapat sokongan yang sewajarnya dalam masyarakat.

Sesi perkongsian ilmu ini menampilkan Dr. Yoshika Hayashi, Pengarah Shiga Prefecture Certified Psychologist Association dari Jepun, yang membentangkan model sokongan komuniti serta kepentingan transformasi dalaman buat ibu bapa dalam menguruskan anak-anak berkeperluan khas. 

Turut berkongsi kepakaran ialah En. Kumaresan Muniandy, Pakar Residen SEAMEO SEN dan Guru Cemerlang Pendidikan Khas, yang mengupas mengenai realiti transisi pelajar dari alam persekolahan ke alam pekerjaan di Malaysia.

Kehadiran barisan panel ini memberikan dimensi baharu kepada para peserta dalam memahami jurang sistem sokongan sedia ada serta langkah proaktif yang perlu diambil bagi memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara lebih holistik.

Penganjuran forum antarabangsa ini membuktikan komitmen jitu CIRCLE UPSI dalam menerajui penyelidikan dan advokasi berkaitan inklusiviti di Malaysia.

Melalui kerjasama dengan pihak luar seperti AKITO Global, CIRCLE terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat rujukan utama yang menghubungkan penyelidikan akademik dengan aplikasi praktikal dalam komuniti.

Usaha kolaboratif ini diharapkan dapat mencetuskan lebih banyak peluang perkongsian kepakaran pada masa hadapan demi mewujudkan persekitaran yang benar-benar inklusif dan mampan.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif utamanya dalam “reframing” atau mengubah cara fikir masyarakat untuk lebih menghargai keunikan individu selaras dengan cogan kata “Embracing Uniqueness”.