Ditulis oleh: Nurul Wahida Md. Arbain
TANJONG MALIM, 28 Mei – Majlis perasmian penutupan Ekspo Inovasi, Sains dan Teknologi (EXIST 26) telah disempurnakan dengan gilang-gemilang oleh Pengarah Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini. Majlis ini menandakan berakhirnya ekspo berprestij dua hari yang menjadi medan pertembungan idea kreatif dan aplikasi digital berimpak tinggi.
Ekspo induk EXIST 26 kali ini diserikan dengan penganjuran sub-program hibrid utama yang dikenali sebagai INNOXIST. Program berimpak tinggi ini merupakan hasil cetusan idea dan anjuran bersama Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMK KHAR) Sidang 2025/2026, dengan jalinan kerjasama strategik bersama pihak CIRCLE UPSI serta barisan rakan industri.
Membawa tema yang amat relevan dengan arus pemodenan global, “Teknologi Inklusif, Masa Depan Progresif”, INNOXIST berjaya menarik penyertaan meluas daripada golongan penyelidik, pensyarah, serta mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negara. Pertandingan inovasi ini dibuka secara rasmi melalui fasa pendaftaran awal pada 14 April, disusuli proses penilaian dokumentasi video yang ketat pada 11 Mei, sebelum fasa penjurian muktamad dilaksanakan oleh panel penilai profesional pada 12 Mei.
Reka bentuk pertandingan INNOXIST ini dirangka secara khusus untuk memfokuskan kepada pembangunan teknologi bantuan yang praktikal melalui dua acuan kategori utama yang dipertandingkan, iaitu:
- Kategori A (Teknologi Bantuan Fizikal & Mobiliti): Memfokuskan kepada ciptaan reka bentuk fizikal, alatan pintar, dan mekanisma mekanikal yang mampu membantu kelancaran pergerakan serta kemandirian golongan kurang upaya (OKU) dalam kehidupan seharian.
- Kategori B (Permainan dan Simulasi Inklusif): Menumpukan kepada pembangunan perisian, aplikasi digital, gamifikasi, dan simulasi interaktif yang mesra pengguna serta menyokong ekosistem pembelajaran berasaskan teknologi.
Uniknya, keseluruhan pengisian sub-program INNOXIST ini tidak sekadar menilai aspek teknikal inovasi semata-mata, malah dipandu sepenuhnya oleh kerangka kerja holistik yang berpaksikan empat komponen utama tema DEIB, iaitu:
- Diversity (Kepelbagaian): Mengiktiraf dan mengambil kira keunikan serta kepelbagaian latar belakang keperluan komuniti OKU dalam setiap rekaan produk inovasi yang dihasilkan agar ia benar-benar praktikal.
- Equity (Ekuiti): Menyediakan ekosistem sokongan dan akses yang adil melalui penciptaan teknologi bantuan, bagi memastikan halangan fizikal atau digital golongan khas ini dapat diruntuhkan dengan saksama.
- Inclusiveness (Keinklusifan): Memastikan tindakan proaktif diambil dalam reka bentuk universal (universal design) supaya tiada golongan yang tersisih daripada menerima manfaat arus pemodenan sains semasa.
- Belonging (Rasa Dipunyai): Memupuk kesedaran emosi yang mendalam menerusi solusi teknologi, agar komuniti OKU berasa selamat, dihargai, dan diakui sebagai sebahagian daripada aset penting masyarakat.
Dalam ucapan perasmian penutupannya, Pengarah CIRCLE UPSI menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepimpinan mahasiswa MMK KHAR atas komitmen luar biasa dalam menganjurkan program berskala besar ini. Beliau menegaskan bahawa rekayasa teknologi bantuan berteraskan nilai DEIB bukan lagi sekadar satu pilihan alternatif, sebaliknya merupakan satu keperluan kritikal dalam usaha menyantuni dan memperkasakan kapasiti komuniti OKU secara holistik. Penglibatan aktif mahasiswa dalam menghasilkan prototaip inovasi ini membuktikan keupayaan anak muda menterjemahkan teori akademik kepada solusi realistik masyarakat.
Di samping itu, beliau turut menzahirkan harapan besar CIRCLE untuk bergerak seiringan dengan semua rakan Pusat Tanggungjawab (PTj) di dalam lingkungan UPSI. Sinergi bersama ini amat penting bagi realizasikan hasrat universiti sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang inklusif secara menyeluruh menerusi pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti pengupayaan komuniti. Komitmen ini bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan serta penambahbaikan infrastruktur sedia ada, malah merangkumi penyediaan prasarana yang lebih berkualiti pada setiap acara serta sasaran pelibatan bilangan peserta yang lebih ramai dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.
Majlis kemuncak ekspo kemudiannya diserikan dengan pengumuman rasmi keputusan pertandingan INNOXIST Competition 2026. Kecemerlangan reka cipta kali ini menyaksikan mahasiswa UPSI, Mellyana Binti Sulung, melakar kejayaan besar apabila berjaya merangkul Pingat Emas sekali gus dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama, iaitu Inovasi Inklusif Terbaik. Beliau yang mempertaruhkan produk inovasi bertajuk “EQUORA” telah berjaya memikat hati panel juri melalui pembangunan model interaktif bagi kaedah bacaan Iqra’ yang dikhususkan untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran. Keberkesanan produk ini dinilai tinggi kerana keupayaannya menterjemahkan teknologi bantuan pendidikan ke dalam acuan inklusif yang saksama.


Keberhasilan penganjuran EXIST 26 dan sub-program INNOXIST ini diharapkan dapat menjadi batu lonjakan kepada hubungan kerjasama yang lebih mampan antara CIRCLE UPSI, MMK KHAR, dan seluruh PTj. Langkah ini sekali gus memperkukuh peranan UPSI sebagai institusi peneraju utama dalam memartabatkan advokasi dan kelestarian komuniti inklusif menerusi lonjakan sains dan teknologi di peringkat kebangsaan.
