oleh Nur Alia Zahirah Zainon Hamzah Tai dan Bazli Razak
TANJONG MALIM, 9 Mac 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi pelaksanaan International Mobility Programme (Outbound) Taiwan–Japan–Malaysia yang berlangsung di National Taiwan Normal University (NTNU), Taiwan dari 24 Februari hingga hari ini.
Program selama dua minggu bertemakan “Next-Generation Global Leadership Development Program” itu memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan generasi baharu dalam konteks global serta pembentukan mahasiswa berfikiran strategik, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa.



Seramai sembilan mahasiswa UPSI daripada Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) serta Fakulti Seni Kelestarian Industri Kreatif (FSKIK) menyertai program berkenaan, termasuk dua pelajar peringkat Sarjana. Mereka diiringi empat pensyarah.
Program itu turut melibatkan penyertaan mahasiswa dari Kanazawa University, Jepun dan NTNU, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi akademik tiga hala antara Malaysia, Taiwan dan Jepun.
Wakil NTNU, Prof. Sung Hui-Ling dalam sesi taklimat alu-aluan berkata program tersebut bukan sekadar pertukaran pelajar, malah berperanan sebagai jambatan ilmu dan persahabatan antara negara.
“Kami yakin para peserta merupakan mahasiswa terbaik yang akan menjadi duta kecil negara masing-masing sepanjang berada di Taiwan,” katanya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, Profesor Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kecemerlangan akademik mahasiswa, malah membentuk modal insan holistik yang memiliki kepekaan global serta keupayaan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Penyelaras Program Mobiliti Antarabangsa, Dr. Pau Kee berkata kejayaan program itu terhasil daripada sinergi kukuh antara pihak pengurusan universiti, fakulti dan komitmen mahasiswa.
“Pengalaman sepanjang program ini perlu diterjemahkan kepada pembangunan kompetensi diri, kepimpinan serta sumbangan bermakna kepada institusi dan komuniti,” katanya.
Ketua Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Dr. Norsayyidatina Che Rozubi pula berkata pengalaman pengantarabangsaan mampu mematangkan pemikiran mahasiswa serta meningkatkan keupayaan adaptasi dalam persekitaran pelbagai budaya.
Sepanjang program itu, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk sesi pembentangan akademik, diskusi strategik dan kolaborasi ilmiah yang menekankan pembangunan kompetensi global.


Mereka turut menyertai lawatan akademik ke Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) serta National Health Research Institute (NHRI) yang memberi pendedahan kepada ekosistem inovasi, penyelidikan berteknologi tinggi dan tadbir urus industri global.
Selain itu, program tersebut turut berfungsi sebagai platform diplomasi pendidikan dalam memperkukuh kefahaman silang budaya serta membuka peluang kerjasama penyelidikan dan pertukaran pelajar pada masa hadapan.
Secara keseluruhan, program mobiliti antarabangsa itu berjaya mencapai objektif dalam memperluas pengalaman global mahasiswa serta menyokong usaha UPSI melahirkan graduan kompeten dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

