Oleh Prof Madya Dr Norwaliza Abdul Wahab
Program EDu-Track IPT anjuran JAKOA Perak-Kedah merupakan satu inisiatif penting bagi membantu pelajar Orang Asli lepasan SPM 2025 mengenal pasti peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Program ini menjadi platform pendedahan awal kepada pelajar tentang laluan pendidikan, syarat kemasukan, bantuan, prospek kerjaya dan pilihan program yang sesuai dengan minat serta kelayakan mereka.
Penyertaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam program ini memperlihatkan komitmen universiti terhadap agenda memperkasa pendidikan masyarakat Orang Asli.
Selaras dengan visi Naib Canselor UPSI, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Aminudin, UPSI berhasrat membuka satu saluran khas bagi memberi peluang kepada pelajar Orang Asli yang layak untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Perguruan.
Inisiatif ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja membuka akses kepada pendidikan tinggi, malah berpotensi melahirkan lebih ramai pendidik daripada komuniti Orang Asli sendiri.
Hasrat ini turut mendapat sokongan padu dari Pengarah JAKOA Perak-Kedah, Tuan Harulnizam Abdul Rahman yang sentiasa komited dalam memperkasakan akses pendidikan dan masa depan generasi muda Orang Asli melalui pelbagai program pembangunan pendidikan.
Dalam program ini, UPSI diwakili oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa PM Dr. Norazilawati Abdullah, Penyelaras Program PM Dr. Norwaliza Abdul Wahab dan Dr. Hartini Ismail dari Fakulti Pembangunan Manusia.
UPSI turut membuka booth pameran yang menyediakan brosur serta maklumat berkaitan peluang dan program pengajian yang ditawarkan. Antara fokus utama yang dipromosikan ialah Program Diploma Perguruan melalui saluran khas kepada pelajar Orang Asli yang memenuhi syarat kelayakan.
Kehadiran UPSI dalam program ini memberi ruang kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapatkan penerangan secara langsung berkaitan kehidupan di universiti, pilihan bidang pengajian serta laluan kerjaya sebagai pendidik.
Pendedahan seperti ini amat penting kerana sebahagian pelajar Orang Asli masih berdepan cabaran dari segi akses maklumat, keyakinan diri, sokongan akademik dan kekangan ekonomi.
Usaha membuka saluran khas Diploma Perguruan juga dilihat sebagai strategi jangka panjang dalam memperkukuh pendidikan Orang Asli.


Guru daripada komuniti Orang Asli lebih memahami latar budaya, bahasa, kehidupan dan cabaran murid setempat. Hal ini dapat membantu membina hubungan yang lebih dekat antara sekolah, murid, keluarga dan komuniti.
Secara keseluruhannya, Program EDu-Track IPT JAKOA Perak-Kedah merupakan langkah proaktif dalam membantu pelajar Orang Asli lepasan SPM 2025 merancang masa depan pendidikan mereka.
Penyertaan UPSI melalui promosi saluran khas Diploma Perguruan membuktikan bahawa peluang pendidikan tinggi semakin terbuka kepada pelajar Orang Asli. Diharapkan inisiatif ini dapat melahirkan lebih ramai anak Orang Asli yang berjaya sebagai mahasiswa, pendidik dan pemimpin komuniti pada masa hadapan.
