oleh: Nur Alya Balqis Halmi
Pada 13 Mei 2026 telah berlangsung Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPSI 2026 bersama Talentbank di Panggung Percubaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menghimpunkan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta pelajar institusi pengajian tinggi awam sekitar negeri Perak.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjaya, pembangunan kemahiran serta potensi dalam bidang keusahawanan. Karnival ini turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung seramai 1,126 orang sepanjang program berlangsung.
Pada sesi pagi, turut diadakan ceramah keusahawanan bersama Mazwin Rubaizah Mazlan, Timbalan Ketua Daerah Usahanita Daerah Muallim dengan tajuk “Peluang Kerjasama Perniagaan Dengan Usahanita Muallim”.
Ceramah ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang kerjasama dan pembangunan perniagaan bersama komuniti usahawan tempatan.
Selain itu, sesi perkongsian bersama Muhammad Syukran Jamil, Pensyarah Diploma Teknousahawan, TVET MARA Kuala Lumpur turut diadakan bagi memberi inspirasi serta panduan kepada pelajar dalam bidang keusahawanan dan pembangunan kerjaya.



Sepanjang karnival ini berlangsung, para pelajar berpeluang mengunjungi 24 booth pameran kerjaya yang disertai oleh pelbagai syarikat, agensi kerajaan dan organisasi industri.
Melalui penyertaan ini, pelajar dapat memperoleh maklumat secara langsung mengenai peluang pekerjaan, latihan industri serta keperluan kemahiran yang diperlukan oleh majikan dalam pasaran kerja semasa.
Selain itu, sesi Mentor Hot Seat turut diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara langsung dengan mentor dan pakar industri. Sesi ini membolehkan pelajar mendapatkan pandangan, nasihat kerjaya serta perkongsian pengalaman daripada individu yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.
Karnival ini juga menyediakan sesi Mock Interview, iaitu simulasi temu duga yang dikendalikan oleh wakil industri. Melalui aktiviti ini, pelajar dapat merasai pengalaman sebenar sesi temu duga, meningkatkan keyakinan diri serta menerima maklum balas yang berguna untuk memperbaiki kemahiran komunikasi dan persembahan diri.



Pada sesi petang pula, telah berlangsung seminar bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang disampaikan oleh Puan Azlina Mohd Mokhtar, Penolong Setiausaha Bahagian Pengambilan, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, bertajuk “Taklimat Persediaan Temu Duga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan”.
Seminar ini memberi panduan kepada pelajar mengenai persediaan menghadapi temuduga, etika semasa sesi temuduga serta tips meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi proses pengambilan kerja khususnya dalam sektor pendidikan.
Dalam sesi perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPSI, Ben Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, turut menekankan kepentingan persediaan awal pelajar dalam menghadapi dunia pekerjaan.
Beliau menyatakan bahawa program seperti ini membantu pelajar memahami keperluan sebenar industri. Beliau turut menggalakkan pelajar untuk memanfaatkan peluang seperti karnival ini bagi membina rangkaian profesional dan meningkatkan kebolehpasaran diri.



Majlis penutup karnival telah disempurnakan oleh Dato’ Lewré Lew, Founder and Chairman of Lewre’ Bespoke, yang turut berkongsi kisah perjalanan hidup serta kata-kata inspirasi kepada para pelajar. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan kesenangan, tetapi dengan keberanian untuk terus berusaha walaupun berhadapan cabaran.
Beliau turut memberi pesanan kepada para pelajar dengan berkata, “Never underestimate your potential. Your background does not determine your future. Your willingness to learn, adapt and persevere will always matter more.” Kata-kata ini memberi motivasi kepada para pelajar agar sentiasa berani mencuba, belajar dan tidak mudah berputus asa.


Tidak ketinggalan juga, sebanyak 30 buah gerai jualan dibuka dan dikendalikan oleh pelajar UPSIpreneur bagi menyemarakkan elemen keusahawanan dalam program ini. Penyertaan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran perniagaan, pemasaran dan pengurusan jualan secara langsung, selain mempromosikan produk serta perkhidmatan yang diusahakan oleh pelajar.


Secara keseluruhannya, Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPSI 2026 ini berjaya mencapai objektifnya dalam memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia pekerjaan dan keusahawanan. Program seperti ini diharapkan dapat membantu pelajar merancang laluan kerjaya dengan lebih jelas serta mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
